ANAK muda merupakan teras kepada banyak gerakan nasionalisme melawan kolonialisme di banyak negara dunia ketiga. Malangnya, naratif anak muda dalam gerakan nasionalisme di Malaysia, meskipun disebut sedikit di sana sini, kurang diberi penghargaan selayaknya - sebagaimana yang berlaku di negara pasca-kolonial lainnya. Naratif ini sering pula sirna dengan naratif kaum mahupun ideologi.

Sebagai bandingan, pemerhatian umum terhadap episod berterusan sepanjang gerakan nasionalisme di Asia Timur dan Asia Tenggara jelas membuktikan peranan penting anak muda dalam mencapai perubahan sama ada dalam bentuk melawan penjajahan mahupun mengisi Kemerdekaan, seawal abad kedua puluh hingga 1980-an-1990-an: Burma pada 1920-an, 1960-an, 1980-an; China pada 1919 dan 17 tahun kemudiannya; Indonesia pada tahun 1960-an dan 1980-an; Thailand pada tahun 1930-an, 1970-an. Hal ini menunjukkan penglibatan anak muda dalam proses politik tidak asing lagi di Asia Tenggara. Menariknya, pada awal abad 20, ketika gerakan nasionalisme di Asia Tenggara sedang memuncak, anak muda terlibat dengan sangat aktif, malah mereka memegang banyak posisi politik yang penting.

Misalnya di Filipina, Andres Bonifacio dan Emilio Jacinto hanya berusia 20-an ketika mengasas dan menerajui gerakan nasionalis Katipunan. Rakan seperjuangan mereka, Gregoria de Jesus juga hanya berusia 21 tahun ketika menyertai gerakan tersebut pada 1896. Manakala Emilio Aguinaldo pula berusia 29 tahun apabila bendera Republik Filipina pertama dikibarkan pada tahun 1898 dan beliau diangkat menjadi presiden pertama Filipina. Jose Rizal, mengarang bukunya yang sangat berpengaruh di banyak negara, Noli Me Tangere (1887) ketika beliau berusia 25 tahun.

Di Burma, gerakan nasionalismenya juga digerakkan pada awalnya oleh organisasi anak muda, Young Men's Buddhist Association (YMBA). Gerakan ini yang pada mulanya membantah Akta Universiti tahun 1920 oleh British kemudiannya merebak dan mendapat sokongan rakyat Burma. Antara individu penting ketika itu adalah Aung San, tokoh nasionalis Burma. Pada tahun 1938, beliau meninggalkan kampus dan menyertai politik nasional ketika berusia 23 tahun dengan menyertai Dobama Asiayone (Our Burma Union) dan memegang jawatan setiausaha agung sehingga Ogos 1940. Pada tahun 1938, beliau mengerakkan mogok besar-besaran di seluruh negara yang disokong oleh pelajar, petani, buruh dan sami sehingga dikenali sebagai Htaung thoun ya byei Ayeidawbon, Revolusi tahun 1300 (berdasarkan kalendar Burma). Semasa Perang Dunia Ke-2, Aung San terlibat aktif dalam perjuangan membebaskan Burma dengan mengadakan hubungan dan mendapat latihan ketenteraan di Jepun dan pada Januari 1947, Aung San dan Perdana Menteri British ketika itu, Clement Attlee menandatangani perjanjian yang menjamin kemerdekaan Burma dalam tempoh setahun. Beliau ketika itu menjawat jawatan Presiden Anti-Fascist People's Freedom League (AFPFL). Malangnya, beberapa bulan kemudian beliau dibunuh - mati pada usia semuda 32 tahun.
Begitu juga halnya di Indonesia ketika penghujung era kolonial, anak muda merupakan perintis kepada gerakan nasionalisme yang lebih besar. Budi Otomo tajaan beberapa orang pelajar Stovia - Sekolah Perubatan di Jawa - termasuk R. Sunato, R. Gunawan Mangunkosumo dan Suradji, merupakan organisasi di Indonesia yang disusun secara moden. Malah, gerakan nasionalisme Indonesia tidak dapat dipisahkan dengan ikrar penting iaitu 'Sumpah Pemuda 1928', yang memberi inspirasi kepada gerakan nasionalisme yang lebih besar. Seterusnya, penglibatan kaum muda dalam gerakan anti-Belanda begitu ketara selepas Perang Dunia II sehingga Ben Anderson menggelarkan gerakan ini sebagai satu 'Revolusi Pemuda'.
Demikian juga halnya di negara kita. Gerakan anak muda di Malaysia ini boleh ditelusuri seawal penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Sungguhpun gerakan ini tidak diidentifikasikan sebagai gerakan anak muda, namun komposisi penggerak dan ahlinya - pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris, Kolej Pertanian, Sekolah Teknik Kuala Lumpur, wartawan, siswazah merupakan anak muda. Organisasi politik ini digambarkan sebagai organisasi 'radikal' atau 'kiri' Melayu yang pertama - ditubuhkan pada tahun 1939 di Kuala Lumpur.




Pada awalnya, KMM agak terhad menyebarkan idea mereka kepada kumpulan intelektual yang mengajar di sekolah vernakular Melayu dan masyarakat Melayu kelas bawahan amnya. Menariknya, pada tahun 1930-an ini, munculnya elit-elit baharu yang bukan berlatarbelakangkan tradisional-feudal. Bagaimanapun, menurut tokoh sosiologi politik Rustam Sani, pada awalnya, gerakan nasionalisme di Malaysia pada 1930-an bersifat 'reaktif' - tindak balas terhadap kemantapan kedudukan bukan Melayu dalam konteks kerajaan kolonial ketika itu. Maka atas sebab itulah, gerakan anak muda dalam kerangka nasionalisme ketika itu berteraskan etnik.

Malah, pada Ogos 1945, ketika Jepun menyerah kalah dan berlaku ketidaktentuan politik, beberapa anak muda telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan akhbar yang bukan sahaja menjadi medan menyatakan sikap politik mereka, malah menjadi opinion leader dalam masyarakat ketika itu. Ahmad Boestamam (yang hanya 24 tahun ketika itu) bersama-sama rakannya menerbitkan akhbar Suara Rakyat dengan memanfaatkan bangunan-bangunan pencetakan akhbar Perak Shimbun yang ditinggalkan oleh Jepun. Malah daripada Suara Rakyat jugalah, kemudian tertubuhnya Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1946. Sebulan kemudian, terus diadakan perjumpaan pertama ahli PKMM di Ipoh dan ketika itu lahirlah pula Angkatan Pemuda Insaf (API).

Pada tahun-tahun awal selepas perang, selari dengan semangat untuk mencapai kemerdekaan, anak muda di universiti/ mahasiswa, bergelut di sekitar isu-isu kewarganegaraan, nasionalisme, bahasa dan pendidikan. Dalam gelombang pertama aktivisme ini, pelajar di Universiti Malaya (Singapura) mula bergiat bersama wartawan nasionalis dan kesatuan sekerja dalam pergerakan anti-kolonial. Sehingga terdapat beberapa orang mahasiswa yang ditahan kerana penglibatan mereka dalam Anti-British League (ABL) pada awal tahun 1950-an. Mahasiswa juga mula mengkritik kolonial melalui penulisan mereka sehingga menimbulkan rasa tidak senang British.

Keseluruhan episod ini memperlihatkan sumbangan besar anak muda - bukan sahaja di Malaysia - malah seluruh rantau ini dalam perjuangan kemerdekaan. Namun, anak muda kini sendiri tidak merasakan Kemerdekaan sebagai perjuangan mereka, sebaliknya adalah usaha orang tua datuk dan nenek kita semata-mata. Lebih malang lagi, anak muda kita sering pula difitnah sebagai tidak patriotik dan tidak menghargai akan Kemerdekaan ini.

Tuduhan dan sangkaan ini tidak akan membantu untuk membina semangat pemuda kita kini. Segala usaha untuk meningkatkan sosialisasi politik dan mengembalikan anak muda dalam naratif politik arus perdana hari ini melalui penurunan umur mengundi kini, perlu diiringi dengan ikhtiar menyusun semula naratif anak muda sepanjang laluan sejarah negara bangsa kita. Agar anak muda kita tidak berasa terasing dari perjuangan mereka sendiri.


* Sheikh Umar Bagharib Ali ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, merangkap Exco Sukan dan Belia Johor dan Ketua Pemuda DAP Johor

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI