KUALA LUMPUR:
Suara anak muda Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan diangkat dalam wadah baharu, iaitu Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP).

Ia merupakan pentas terbuka dan inklusif yang akan menyaksikan para perwakilan belia pelbagai latar belakang dari setiap Parlimen di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan bersuara membahaskan usul berkaitan dasar-dasar di Wilayah Persekutuan.

Melancarkan program itu pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga menjadi Penaung SBWP, Dr Zaliha Mustafa berkata, suara belia amat penting memandangkan golongan itu membentuk lebih 50 peratus daripada populasi di negara ini.

Belia juga adalah pemimpin hari ini dan masa depan, maka hadir SBWP sebagai platform formal untuk pentadbir, dalam skop ini Wilayah Persekutuan, melaksanakan tuntutan-tuntutan anak muda yang lebih cakna dengan keperluan dan cabaran masa kini dan mendatang.

“Daripada mereka saya ingin dengar input, cadangan dan kritikan membina dalam kita menghadirkan dasar-dasar baharu atau menambah baik dasar-dasar sedia ada di Wilayah Persekutuan ini.

“Mereka yang berusia 18 hingga 35 tahun ini akhirnya nanti akan masuk ke alam pemimpin dalam apa juga lapangan, jadi kalau kita bentuk mereka dalam acuan yang baik insya-Allah mereka akan menjadi pemimpin yang lebih baik, lebih kritis dan lebih terbuka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pra Peluncuran SBWP di sini hari ini.

SBWP akan mengumpulkan 65 wakil belia, 5 orang dari setiap kawasan Parlimen di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 Parlimen), Putrajaya (1 Parlimen), dan Labuan (1 Parlimen).

Mesyuarat Pertama SBWP akan diadakan pada 12 hingga 15 Julai 2024, manakala Mesyuarat Kedua pula pada 8 hingga 11 November 2024.

Lima kluster akan menjadi skop perbincangan SBWP, di mana usul-usul yang dibangkitkan akan dicadang, diundi dan dipilih sendiri oleh ahli-ahli SBWP iaitu Ekonomi; Sosial; Teknologi; Perundangan dan Dasar; serta Alam Sekitar dan Kelestarian Alam.

Permohonan penyertaan sebagai ahli dibuka untuk para belia bermula hari ini (7 Mei 2024) hingga 17 Mei 2024, yang boleh dibuat secara dalam talian di http://sidangbeliawp.my/.

Syarat-syaratnya:

Permohonan adalah percuma dan peserta yang terpilih akan disenarai pendek oleh Jawatankuasa Pemilihan Peserta. Menariknya, peserta yang terpilih dari Wilayah Persekutuan Labuan seramai lima orang akan ditanggung kos pengangkutan pergi dan balik ke Mesyuarat SBWP.