KUALA LUMPUR: Pemeliharaan warisan adalah elemen yang sangat penting dalam setiap fasa pembangunan bandar, baik dalam projek pembaharuan mahupun pembangunan semula.

Menurut Pengarah Penyelidikan, Rahim & Co International Sdn Bhd, Sr Sulaiman Saheh, menjaga warisan ini bukan sahaja memastikan kelestarian sejarah dan budaya, tetapi juga memainkan peranan besar dalam mencipta karakter yang unik bagi sesebuah bandar.

Elemen-elemen warisan ini menjadikan sesebuah bandar berbeza dan memberi nilai tambah yang tidak dapat dilihat dalam pembangunan moden semata-mata.

"Di seluruh dunia, kita dapat melihat contoh-contoh pembangunan di mana pemaju mengambil langkah proaktif untuk mengekalkan elemen seni bina yang signifikan dalam bandar

"Kadangkala, usaha ini tidak hanya melibatkan bangunan bersejarah, tetapi juga kawasan terbuka yang memiliki nilai sejarah yang tinggi

"Sesuatu kawasan mungkin pernah menjadi lokasi penting lebih 20 hingga 30 tahun lalu, atau bahkan lebih dari 100 tahun yang lalu, dan kejadian tersebut adalah sebahagian daripada identiti bandar tersebut," kata beliau.

Tambahnya, warisan yang terpelihara memberi identiti yang tidak ternilai dan menjadikannya lebih bermakna, bukan hanya kepada penduduk tempatan, tetapi juga kepada pelancong asing yang datang untuk merasai pengalaman yang berbeza.

Dari sudut pelancongan, pemeliharaan warisan ini turut membuka peluang monetisasi yang besar kepada negara.

"Pelancong, khususnya pelancong asing, lebih tertarik kepada sesuatu yang unik dan berbeza dari apa yang mereka boleh temui di tempat lain

"Mereka datang bukan hanya untuk melihat bangunan moden, tetapi untuk merasai dan menghargai perbezaan yang ada, termasuk dari segi sejarah, budaya, atau seni bina," kata Sulaiman lagi.

Dengan mengekalkan warisan, sesebuah bandar bukan sahaja menarik pelancong yang mencari pengalaman asli, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui sektor pelancongan.

Namun begitu, dalam menghadapi cabaran pembangunan semula bandar atau pembaharuan urban, peranan pemilik bangunan atau tanah menjadi sangat penting.

"Mereka boleh memilih sama ada untuk terlibat dalam pembangunan semula atau penambahbaikan bandar, dan keputusan ini memerlukan kerjasama yang erat antara pemaju dan pemilik untuk memastikan projek ini memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat," jelas Sulaiman.

Pembangunan bandar yang mampan memerlukan pendekatan yang holistik melibatkan pemeliharaan warisan, penambahbaikan infrastruktur, serta penglibatan aktif komuniti dan pemilik kawasan.

Semua ini perlu berjalan seiring agar bandar dapat berkembang dengan cara yang menyeluruh dan tidak mengabaikan sejarah serta budaya yang menjadi asas identiti sesebuah bandar.

Beliau berkongsi pandangan dalam program Niaga AWANI pada Khamis.

Akta Pembaharuan Bandar: Pembangunan inklusif dan terancang untuk masa depan Malaysia