IPOH: Mayat salah seorang pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki Gunung Suku, Simpang Pulai, telah diserahkan kepada warisnya petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan pakar forensik pergigian dari Hospital Kuala Lumpur di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, semalam, mengesahkan mayat itu adalah milik Ng Yee Chew, 46.

“Punca kematian mangsa ini diklasifikasikan sebagai ‘multiple injuries due to landslide’,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Di samping itu, kata beliau, laporan perbandingan cap jari bagi anggota tubuh manusia yang disyaki milik mangsa kedua menunjukkan kesan cap jari yang ditimbulkan adalah tidak dikesan dan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bagaimanapun, katanya, pihak siasatan akan menghantar semua spesimen DNA manusia yang dikumpulkan oleh Jabatan Forensik HRPB Ipoh sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke Jabatan Kimia untuk analisa bagi tujuan pengesahan identiti mangsa kedua.

Semalam, beliau mengesahkan identiti kedua-dua mayat pendaki wanita itu sudah dikenal pasti.

Menurutnya, penemuan anggota tubuh badan pada 16 Mei lalu merupakan See Su Yen, 32, dan mayat kedua pada Sabtu lalu ialah Ng Yee Chew, 46.

BACA: Identiti dua mayat pendaki Gunung Suku sudah dikenal pasti - Ketua Polis Perak

Sehubungan itu, Mior Faridalathrash berkata, proses bedah siasat akan dijalankan HRPB Ipoh, bagi mengenal pasti punca kematian kedua-dua mangsa.

Sebelum ini media melaporkan kesemua anggota tubuh badan dan mayat pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki Gunung Suku, Simpang Pulai pada 15 Mei lalu, dihantar ke Jabatan Forensik, HRPB, Ipoh.

Kedua-dua mangsa dihanyutkan kepala air semasa mendaki gunung berkenaan bersama-sama 27 pendaki lain.


[INFOGRAFIK] Kronologi Dua Pendaki Maut di Gunung Suku