SHAH ALAM : Kesedaran penjagaan kesihatan gigi rakyat Malaysia kini pada tahap membimbangkan apabila 90 peratus orang dewasa mempunyai penyakit keradangan gusi.

Pakar Pergigian dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Dzulfikar Samsudin berkata, data daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 juga menunjukkan 88 peratus penduduk Malaysia ada masalah gigi berlubang.

Lebih membimbangkan, sebanyak 71 peratus kanak-kanak yang baru berumur lima tahun juga sudah mempunyai masalah gigi berlubang.

“Berdasarkan standard ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada usia 50 tahun, warga emas perlu mempunyai sekurang-kurangnya 20 batang gigi.

“Bagaimanapun, di Malaysia, kita hanya mempunyai 22 peratus warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya 20 batang gigi.

“Ia bermakna, selebihnya sudah tiada gigi sebanyak itu. Isu ini sangat serius.

“Kesedaran kesihatan gigi rakyat Malaysia masih kurang tentang kepentingan menjaga gigi mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, sikap masyarakat yang berasa cukup sekadar rutin memberus gigi dan hanya berjumpa doktor apabila sakit menyebabkan ramai yang gagal menyelamatkan gigi lebih awal.

“Kita galakkan sekurang-kurangnya setahun sekali. Apabila masyarakat mempunyai rutin pemeriksaan gigi dan mulut ini, doktor juga boleh laksanakan saringan kanser.

“Biasanya rakyat Malaysia, mereka akan jumpa doktor gigi bila bermasalah. Jadi, bila bermasalah, sudah terlalu lambat.

“Tidak banyak yang boleh dibuat selain cabut gigi, malah ada yang dikesan menghidap kanser mulut terutama bahagian lidah menyebabkan lidah terpaksa dipotong,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau percaya meskipun kerajaan menyediakan kemudahan kesihatan pergigian, ia masih tidak mencukupi terutama dalam isu akses kepada penduduk di Sabah dan Sarawak.

“Saya percaya tak cukup, kalau cukup tak mungkin kita dapat data seperti ini.

“Sakit gigi sama seperti penyakit kronik lain, sebab faktor-faktor penyakit ini juga sama, kerana permakanan dan tak jaga kebersihan mulut dengan baik. Sebab itu penyakit gigi paling tinggi bagi kategori penyakit tak berjangkit," katanya.

Pada masa sama, Dr Ahmad Dzulfikar menegaskan, kewujudan doktor gigi palsu yang berleluasa di negara ini termasuk produk-produk kesihatan gigi yang tidak diiktiraf menyebabkan kesihatan gigi rakyat Malaysia semakin be-risiko.

Katanya, golongan yang terikat dengan perasaan takut untuk berjumpa doktor gigi lebih cenderung mengambil jalan mudah menggunakan produk-produk ‘sampah’.

“Mereka tidak fikir jangka panjang. Mula-mula mungkin nampak indah tetapi kesan jangka panjangnya ada penyakit gusi.

“Gusi akan jadi masalah bila berdarah, gigi jadi longgar dan akhirnya terpaksa dicabut.

“Banyak kes yang kita terima kesan daripada guna produk di pasaran,” ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat agar menjadikan penjagaan kesihatan gigi sama penting seperti kesihatan anggota badan lain dengan menitik beratkan penjagaannya seawal bayi lagi.

Beliau berkata, rutin penjagaan gigi yang betul pada usia kanak-kanak mampu mengelak risiko lebih buruk.

“Kalau sudah teruk, walaupun gigi susu, gusi boleh jadi bengkak dan bernanah kerana ada jangkitan.

“Bengkak dalam mulut boleh menyebabkan salur pernafasan tersekat dan membawa kematian,” katanya. bat dan sakit telinga.

Sekadar beruskan gigi anak tidak memadai

“Sebelum ini saya fikir anak-anak terlalu kecil untuk dibawa berjumpa doktor gigi, jadi hanya ambil inisiatif jaga gigi mereka sendiri dengan cara kerap beruskan gigi tapi rupanya ia tidak memadai,” kata seorang ibu kepada dua anak.

Wanita berkenaan yang juga pekerja swasta, Nurhafina Mohd Nayan, 35, berkata, dia mendapati gigi anak sulungnya mulai rosak walaupun rutin memberus gigi siang dan malam.

Katanya, disebabkan penga-laman itu, dia mengambil inisiatif memberus gigi anak kedua lebih kerap dengan harapan tidak timbul masalah gigi rosak.

“Namun, ia juga seperti tidak berhasil apabila saya mendapati gigi anak kedua saya turut menunjukkan tanda-tanda akan rosak.

“Akhirnya saya bawa mereka mendapatkan rawatan dengan doktor gigi.

“Doktor bukan sekadar periksa gigi, malah gigi anak-anak turut disapu dengan pelindung khas untuk jaga gigi agar tidak mudah rosak," katanya kepada Sinar Harian.

Nurhafina mengakui agak bimbang anak-anak akan rasa takut untuk mendapatkan rawatan dengan doktor gigi.

“Anak-anak dengar bunyi mesin pun kadang-kadang menangis, itu yang saya bimbangkan. Jadi, cara atasinya adalah dengan cara kita buat dahulu depan mereka.

“Saya buka mulut dahulu untuk doktor periksa. Bila anak-anak tengok, baru anak sulung berani buat, kemudian si adik pula tengok abang buat, dia nak buat,” kata Nurhafina.

Tambahnya, golongan ibu bapa juga tidak perlu risau dengan kos rawatan gigi kanak-kanak kerana ia masih pada kadar berpatutan di klinik swasta atau boleh mengambil khidmat ra-watan klinik pergigian kerajaan.

INFO KESIHATAN GIGI & MULUT

- Penjagaan gigi dan mulut perlu bermula sejak bayi. Lap dalam mulut bayi dengan kain setelah menyusu.

- Dapatkan rawatan doktor gigi sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

- Masalah gigi susu yang dihadapi kanak-kanak boleh menjejaskan pertumbuhan gigi kekal (tidak teratur).

- Pemeriksaan gigi secara rutin mampu mengesan sekiranya terdapat keadaan tidak normal untuk rawatan lanjut mengesan kanser mulut.

- Pengurangan jumlah dan kekerapan pengambilan makanan atau minuman manis boleh mencegah sakit gigi.

- Sakit gigi boleh disebabkan oleh penyakit gusi (penyakit periodontium), gigi sensitif, gigi retak dan sakit sendi rahang.

- Sakit gigi juga boleh disebabkan oleh masalah yang tidak berasal daripada gigi atau rahang seperti sinus tersumbat dan sakit telinga.

- Sinar Harian