KUALA LUMPUR: Keterjaminan makanan adalah salah satu aspek penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, agar negara mampu menangani krisis makanan dengan lebih efektif.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) antara yang memainkan peranan penting dalam usaha memastikan keterjaminan makanan termasuk meningkatkan produktiviti dan kualiti makanan yang dihasilkan.

Selari dengan itu, Mardi melancarkan ‘Green House Projek Inisiatif Keterjaminan Makanan 2025’, yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Kebun Komuniti Kampung Baru Batu Caves dan Taman Batu Caves, di sini hari ini.

Ia merupakan sebahagian daripada Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024 yang bertujuan memperkenalkan teknologi pertanian inovatif dalam meningkatkan pengeluaran makanan secara tempatan.

“Projek ini melibatkan 50 lokasi terpilih di seluruh negara, dengan Kebun Komuniti Taman Batu Caves menjadi salah satu lokasi utama yang dipilih.

“Antara teknologi yang diperkenalkan adalah teknologi ‘microfarm’ dan teknologi ‘greenkit’ yang menggunakan konsep ‘self-watering’ dan direka untuk meningkatkan produktiviti tanaman dalam ruang terhad,” kata Mardi dalam satu kenyataan.

Jelas Mardi, sistem itu tidak memerlukan tenaga elektrik dan hanya bergantung kepada tekanan graviti untuk pengairan.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan struktur pelindung hujan dan jaring kalis serangga untuk melindungi tanaman daripada cuaca ekstrem dan serangan perosak.

“Melalui projek tersebut juga, semua ahli kebun komuniti menerima input pertanian seperti benih, baja organik, serta alatan perkebunan yang diperlukan.

“Projek ini tidak hanya membantu meningkatkan keterjaminan makanan setempat tetapi juga mengeratkan silaturrahim antara komuniti,” kata Mardi.

Institut itu menambah, pihaknya berharap inisiatif seperti itu dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak komuniti di seluruh negara.