KUALA NERUS: Jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan untuk sektor pertanian Terengganu pada tahun ini meningkat kepada RM69.97 juta berbanding RM33.13 juta tahun lepas.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata peruntukan besar itu bagi memperkasakan agenda keterjaminan makanan negara khususnya di negeri berkenaan.

Beliau berkata peningkatan lebih sekali ganda itu membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa menyokong agenda keterjaminan dan pembangunan sektor pertanian tanpa mengira batasan politik dan negeri.

"Terengganu antara negeri yang menerima peruntukan pembangunan pertanian tertinggi. Selain itu KPKM juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10.06 juta kepada kerajaan negeri di bawah program kerjasama bagi mengoptimumkan penggunaan tanah ke arah keterjaminan makanan negara.

"Peruntukan itu diberi secara terus kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan sebanyak 12 projek yang meliputi sektor pertanian, penternakan dan perikanan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Jualan Agro MADANI Mega Negeri Terengganu 2024 di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini semalam.

Pada majlis itu Arthur turut menyampaikan pelbagai jenis geran keseluruhan berjumlah RM2.04 juta kepada 210 usahawan tani di Terengganu.

Dalam pada itu beliau berkata KPKM telah melaksanakan sebanyak 10,093 Program Jualan Agro MADANI di seluruh negara bermula 18 April 2023 hingga 11 Ogos lepas dan jumlah itu telah melepasi sasaran ditetapkan iaitu 10,000 program termasuk di kawasan pedalaman dan terpencil.

Program itu memberi impak positif terhadap ekonomi rakyat dengan menyediakan penjimatan harga barangan sebanyak RM56 juta kepada kira-kira 21.34 juta isi rumah di seluruh negara, kata beliau.

"Program Jualan Agro MADANI secara tidak langsung meningkatkan pendapatan petani kerana dapat menjual hasil pengeluaran mereka secara terus tanpa melalui orang tengah. Seramai 137,741 usahawan terlibat dalam program ini dengan jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM187.8 juta. Di Terengganu sahaja sebanyak 395 program telah diadakan dengan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM5.91 juta," katanya.

Selain Program Jualan Agro MADANI, KPKM turut menganjurkan empat Karnival Jualan Agro MADANI Mega di tiga negeri termasuk Sabah, Perlis dan Terengganu dengan sasaran jualan sebanyak RM2.46 juta, tambah beliau lagi.

-- BERNAMA