DUBAI: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terus melakukan perbincangan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala terutama dalam pengurusan bencana, pembagunan industri halal termasuk isu keterjaminan makanan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian dalam pertemuan beliau dengan Menteri Tenaga, dan Infrastruktur UAE, Suhail Mohamed al Mazrouei di Dubai.

"Saya dapat melihat kesungguhan UAE dalam memastikan ketersediaan keterjaminan makanan di rantau ini dengan menjadi pusat utama bagi eksport semula produk makanan.

"Ini secara tidak langsung membuka peluang besar Malaysia untuk meningkatkan eksport makanan dan halal ke pasaran UAE dan rantau  sekitar sini," ujar beliau.

Pada pertemuan itu, Ahmad Zahid dan Suhail turut membincangkan potensi kerjasama dalam sektor logistik dan pengurusan pelabuhan khususnya dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI). Pelaksanaan oleh UAE itu berjaya mengoptimumkan pengendalian kontena serta meningkatkan lagi efisiensi pelabuhan mereka.

Ahmad Zahid berkata, jika teknologi AI itu diaplikasikan di pelabuhan Malaysia, pasti ia dapat membantu menambah kapasiti dan daya saing Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Westport.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga membincangkan mengenai peluang kerjasama dalam pengurusan bencana.

Ahmad Zahid sempat berkunjung ke SPACE24 yang menjadi pusat pemantauan bencana yang moden di Abu Dhabi. Ia berpotensi membantu Malaysia bagi memberi amaran awal yang mampu meningkatkan keupayaan negara dalam menangani bencana yang semakin kerap.

Mengakhiri pertemuan itu, Ahmad Zahid juga selaku Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah (KKDW), mengambil kesempatan mengundang pihak UAE untuk menghadiri MIHAS@DUBAI yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Dubai bermula esok sebagai platfom memperkenalkan produk Malaysia, selain mengundang negara itu menyertai Sidang Kemuncak ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (GCC), tahun depan.