LANGKAWI: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berjaya menyelesaikan Banci Pertanian 2024 dengan merekodkan penambahan 59,284 pegangan pertanian baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,256,593 kes.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin memaklumkan, pada peringkat awal bancian, sebanyak 1,197,309 pegangan telah direkodkan.

"Pada peringkat awal pelaksanaan banci ini, terdapat 1,197,309 pegangan pertanian yang terdiri daripada 1,177,556 (98.4%) isi rumah dan 19,753 (1.6%) pertubuhan perniagaan yang aktif.

“Namun, setelah berakhirnya kerja lapangan ini, didapati sebanyak 1,256,593 kes yang ditemui (105.0%). Bancian ini telah menemui tambahan 59,284 pegangan pertanian baharu selain daripada senarai sebelum pembancian,” katanya ketika menghadiri sesi pertama mopping-up di Langkawi.

Banci Pertanian 2024 yang berlangsung dari 7 Julai hingga 10 Oktober bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh tentang struktur dan ciri sektor pertanian negara.

Ini melibatkan empat subsektor utama iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur, serta perhutanan dan pembalakan.

Hasil bancian ini akan menjadi asas kepada penyediaan indikator keterjaminan makanan dan pembangunan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu (MySAgR), sebuah platform data pertanian yang akan memperkukuh ekosistem sektor ini.

Menurut Mohd Uzir, walaupun operasi lapangan telah tamat, proses mopping-up akan dilaksanakan dari 11 hingga 24 Oktober bagi memastikan semua pegangan terlibat.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kedah mencatatkan 105.8% liputan, dengan 4,719 kes baharu ditemui berbanding 81,780 pegangan isi rumah dalam senarai asal.

Langkawi pula merekodkan pencapaian tertinggi dengan 152.3%, diikuti Kuala Muda (128.9%) dan Kulim (114.8%).

Mohd Uzir menambah, statistik sektor pertanian akan terus diperhalusi melalui tinjauan bulanan dan suku tahunan baharu.

Maklumat ini akan dikemas kini secara berkala dan dijadikan rujukan utama kerajaan dan agensi pertanian dalam merangka dasar yang lebih tepat dan berkesan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada lebih 1,390 kementerian dan agensi yang terlibat dengan kerjasama merangkumi perkongsian data, kepakaran, dan logistik, yang menyumbang kepada kejayaan operasi banci.

"Kejayaan Banci Pertanian 2024 pada kali ini adalah hasil daripada usaha bersama kita semua. Statistik yang dikumpulkan ini akan menjadi input utama kerajaan dalam merangka dasar dan program yang lebih efektif untuk memastikan kemampanan sektor pertanian negara,” ujarnya.