Pengarah Institut Latihan Statistik Malaysia, DOSM, Mohd Sofi Ali berkata dapatan banci itu turut bersifat komprehensif dan amat berguna kepada pelbagai pihak berkepentingan.
"Antaranya kepada kerajaan sebagai pembuat dasar dan polisi di mana ia akan membantu kerajaan untuk merancang intervensi yang tepat dan berkesan dalam sektor pertanian.
"Malah, ia juga memberi manfaat kepada petani dan pengusaha pertanian apabila mereka memahami aliran semasa permintaan dan penawaran pasaran sektor pertanian.
"Selain itu, para petani dan pengusaha pertanian akan mendapat maklumat berkait ketelusan harga produk pertanian selain boleh memperbaiki teknik dan amalan pertanian untuk meningkatkan hasil mereka," katanya ketika di temu bual Astro AWANI pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata dapatan banci itu juga akan membantu penyelidik dan ahli akademik dalam dalam menjalankan kajian lanjut yang dapat menyumbang kepada pengetahuan dan teknologi baharu dalam sektor pertanian.
Mohd Sofi berkata, dapatan banci itu juga akan membantu orang awam untuk mendapat maklumat seiring mencapai keseimbangan permintaan dan penawaran serta ketelusan dan kestabilan harga produk.
Pada masa sama, ujar beliau, dapatan banci ini boleh digunakan sebagai pengukur dan perbandingan antarabangsa kerana memenuhi keperluan standard data agensi antarabangsa seperti The Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO).
Menurut beliau, Banci Pertanian 2024 ini juga dapat melengkapkan proses pengumpulan data di peringkat huluan dengan sasaran adalah pemegang pertanian dikalangan pertubuhan, institusi dan isi rumah yang terlibat secara langsung dalam aktiviti pengeluaran pertanian.
"Ia adalah sejajar dengan resolusi FAO Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengesyorkan agar semua negara melaksanakan Banci Pertanian dengan kekerapan sekali dalam tempoh 10 tahun.
"Indonesia, Filipina, Thailand dan Sri Lanka melaksanakan banci pertanian dengan kekerapan 10 tahun sekali. Bagaimanapun terdapat negara melaksanakan banci pertanian lima tahun sekali iaitu Australia, Kanada dan Republik Korea," ujar beliau.
Bancian Pertanian 2024 yang akan berakhir pada 10 Oktober ini merangkumi empat subsektor utama iaitu tanaman, ternakan, akuakultur dan perhutanan selain merupakan banci kali keempat dilaksanakan di Malaysia selepas kali terakhir dilaksanakan pada 2005.