KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang pada 5.1 peratus pada 2024 berbanding 3.6 peratus pada tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pertumbuhan itu dijangka dipacu oleh pertumbuhan 4.8 peratus dalam suku keempat 2024 berikutan pertumbuhan lebih kukuh 5.3 peratus dalam suku ketiga tahun sama, kata jabatan itu menerusi kenyataan media Anggaran KDNK Awalan Suku Keempat 2024 hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia didorong oleh permintaan domestik yang kukuh serta pemulihan sektor luaran, di samping pelaburan strategik dalam bidang seperti tenaga boleh baharu dan infrastruktur digital, termasuk pusat data.

"Usaha ini telah menarik pelaburan asing dan menyumbang kepada kestabilan ekonomi.

"Selain itu, peningkatan ketibaan pelancong dan kenaikan gaji penjawat awam dijangka merancakkan aktiviti peruncitan dan meningkatkan perbelanjaan isi rumah, seterusnya menyumbang secara positif terhadap momentum keseluruhan ekonomi," katanya.

Menjelaskan prestasi suku keempat 2024 itu, Mohd Uzir berkata pertumbuhan ekonomi pada suku tahun ini dipacu oleh sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 5.3 peratus (suku ketiga 2024 : 5.2 peratus).

Ini diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi.

Selain itu, sektor pembuatan dijangka mencatat peningkatan 4.3 peratus berbanding 5.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, disokong terutamanya oleh produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Beliau berkata "sektor pembinaan terus mencatat pertumbuhan sebanyak 19.6 peratus berbanding 19.9 peratus berikutan prestasi kukuh dalam semua segmen, terutama bangunan kediaman dan bukan kediaman.

"Sektor pertanian bagaimanapun mencatatkan penurunan marginal -0.6 peratus berbanding peningkatan 3.9 peratus pada suku ketiga 2024, dipengaruhi oleh penurunan dalam subsektor kelapa sawit.

"Selain itu, sektor perlombongan dan pengkuarian menyusut -1.4 peratus berbanding -3.9 peratus pada suku tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh penurunan dalam subsektor minyak mentah dan kondensat," katanya.

Mohd Uzir berkata secara keseluruhan, sektor perkhidmatan diunjur tumbuh 5.3 peratus pada 2024 berbanding 5.1 peratus pada 2023 manakala pertumbuhan sektor pembuatan dijangka melonjak pada 4.2 peratus daripada 0.7 peratus dalam 2023, disumbangkan oleh industri berorientasikan domestik dan eksport.

Merujuk sektor pembinaan, beliau berkata ia diunjur meningkat ketara kepada 17.2 peratus pada 2024 daripada 6.1 peratus dalam 2023 manakala sektor pertanian menokok 3.0 peratus pada 2024 daripada 0.7 peratus dalam 2023.

Dalam pada itu, jabatan itu berkata data analisis terperinci dan komprehensif KDNK bagi suku keempat 2024 akan dikeluarkan pada 14 Feb, 2025.

-- BERNAMA