KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan mencecah 6.0 peratus pada suku kedua 2024, melepasi anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu sebanyak 5.8 peratus.

Bagaimanapun, bank itu mengekalkan unjuran pertumbuhan 2024 pada 4.7 peratus, selepas mengambil kira risiko penurunan daripada jangkaan yang mungkin timbul akibat perkembangan global.

"Secara keseluruhan, penggunaan swasta telah menjadi pemacu utama pertumbuhan positif pada suku kedua, disokong oleh kestabilan pasaran buruh, dengan kadar pengangguran kekal mantap pada tahap pra-pandemik sebanyak 3.3 peratus," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Ekonomi Malaysia berkembang 4.2 peratus dari tahun ke tahun menjelang suku pertama 2024, yang bermakna pengembangan 6.0 peratus pada suku kedua akan mencerminkan pecutan pertumbuhan.

Bank Islam berkata perbelanjaan dirangsang lagi oleh peningkatan dalam pelancongan, selepas negara menyaksikan kedatangan 9.5 juta pelancong asing dalam tempoh lima bulan pertama 2024 berbanding hanya 7.5 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini, naik lebih 25 peratus.

"Walaupun jangkaan penggunaan swasta akan menjadi sederhana akibat rasionalisasi subsidi, perbelanjaan pertumbuhan telah dikekalkan oleh pemindahan tunai kerajaan, pengeluaran daripada Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan permintaan perayaan," katanya.

Sektor pembinaan dijangka terus berkembang, disokong oleh momentum pelaburan yang agak mantap.

"Anggaran rasmi menunjukkan satu lagi pertumbuhan dua angka bagi suku kedua 2024 pada 17.2 peratus dan kami melihat bahawa sektor tersebut akan memberikan prestasi yang kukuh akan datang," tambahnya lagi.

Menurut DoSM, nilai kerja yang dilakukan dalam sektor pembinaan melonjak 20.2 peratus dari tahun ke tahun pada suku kedua 2024 disebabkan projek pelaburan yang direalisasikan selain pelancaran pelbagai projek pembangunan infrastruktur seperti Sistem Transit Rapid antara Johor Bahru dan Singapura.

Pelaburan ke dalam pusat data dan infrastruktur tenaga boleh baharu juga menyokong pertumbuhan sektor itu.

"Melangkah ke hadapan, kami percaya bahawa pembaharuan dasar-dasar kerajaan seperti rasionalisasi subsidi bahan api akan meningkatkan ruang fiskal kerajaan, sekali gus menyediakan ruang yang luas untuk lebih banyak projek pembangunan," kata Bank Islam.

Melihat ke hadapan, Bank Islam berkata pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka kekal stabil tetapi sederhana sedikit menjelang suku ketiga serta keempat 2024 di tengah-tengah latar belakang ekonomi global yang lebih mencabar, termasuk jangkaan kelembapan di Amerika Syarikat (AS) dan China.

Penggunaan swasta akan terus memacu pertumbuhan, walaupun sentimen mungkin dibebani oleh kebimbangan terhadap kos sara hidup yang lebih tinggi.

"Perdagangan berkemungkinan bertambah baik selepas kelembapan pada suku kedua 2023 hingga suku pertama 2024 telah disokong oleh pemulihan dalam pasaran semikonduktor global, manakala pelaburan dijangka mendapat manfaat daripada beberapa projek pembangunan yang dirancangkan," kata Bank Islam.

Bagaimanapun, unjuran itu menghadapi beberapa risiko menurun daripada perkembangan global, termasuk pilihan raya presiden AS, ketegangan perdagangan AS-China dan konflik di Timur Tengah yang semakin memuncak.

-- BERNAMA