PUTRAJAYA: BANCI Pertanian 2024 telah bermula sejak 7 Julai 2024 dan akan diteruskan sehingga 10 Oktober 2024, bagi memberikan gambaran terkini keadaan sektor pertanian Malaysia secara menyeluruh. Pada hari ini, kita telah mengharungi separuh daripada tempoh tiga bulan kerja luar pelaksanaan banci di seluruh negara dan berbaki 48 hari lagi sebelum berakhirnya tempoh operasi banci. Pesuruhjaya Banci, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan hasil bancian dapat dijadikan sebagai indikator dalam penggubalan dasar yang lebih strategik bagi sektor pertanian negara.

Responden yang disasarkan dalam Banci Pertanian 2024 terdiri daripada individu seperti petani, nelayan, dan penternak. Selain itu, Banci ini juga menyasarkan pertubuhan perniagaan seperti ladang dan aktiviti pertanian yang dijalankan oleh institusi seperti koperasi dan penjara. Liputan banci pada kali ini adalah menyeluruh berbanding bancian kali terakhir pada 2005 iaitu merangkumi subsektor tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur, perhutanan dan pembalakan.

Simbolik kepada pelaksanaan Banci Pertanian 2024, Majlis Peluncuran Banci Pertanian 2024 telah dirasmikan oleh Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bertempat di MAEPS, Serdang, Selangor pada 4 Julai 2024. Seterusnya, “Kick-Off” kerja luar telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 di Kampung Kok Klang, Perlis
pada 7 Julai 2024. Sesi Turun Padang turut dilaksanakan di daerah terpilih bagi bertemu dengan pengusaha, di samping melaksanakan pemantauan dan mendapatkan maklumbalas dari pembanci dan penyelia berkaitan pelaksanaan Banci di daerah.


Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata: “Setakat hari ini, secara keseluruhan kemajuan kerja luar operasi pembancian adalah melibatkan 623,338 pegangan pertanian yang mana sebanyak 614,066 tempat kediaman dan 9,272 pertubuhan perniagaan terlibat dalam aktiviti pertanian telah dilawati”. Daripada 623,338 pegangan pertanian tersebut, analisis di peringkat negeri menunjukkan tiga negeri merekodkan jumlah kes dilawati tertinggi iaitu Sabah (134,742) diikuti Johor (103,976), dan Sarawak (66,196).

Menurut beliau, dianggarkan sebanyak 1.12 juta tempat kediaman dan 20,000 pertubuhan akan diliputi sepanjang tiga bulan bancian ini dijalankan. Aktiviti ini akan melibatkan seramai kira-kira 5,000 pembanci dan penyelia kerja luar dan dianggarkan seorang pembanci boleh melengkapkan tiga hingga empat maklumat soal selidik sehari. Berbaki kurang dua bulan dari tarikh akhir Banci iaitu 10 Oktober 2024, kerja-kerja prosesan borang dan tangkapan data akan melibatkan kira-kira 1,700 pembanci dan penyelia
prosesan di seluruh negara.

Bagi memastikan keberkesanan data yang bakal dihasilkan, Datuk Seri Mohd Uzir meminta kesemua pengusaha pertanian yang terlibat dalam aktiviti pertanian sama ada peringkat huluan dan hiliran bekerjasama dengan DOSM dengan memberikan maklumat yang jujur dan tepat kepada pembanci. Pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan seperti memberi penerangan kepada masyarakat di samping sesi bersama komuniti setempat terus dipergiatkan. Usaha ini dijangka dapat membantu memperkejat
pengoperasian pembancian di lapangan. Responden tidak usah ragu-ragu dan bimbang untuk mendedahkan maklumat pertanian kerana maklumat ini dapat membantu penggubal dasar dan pemain industri untuk membuat keputusan dengan lebih baik serta mengoptimumkan operasi dalam sektor pertanian.

Maklumat lanjut berkaitan Banci Pertanian 2024 boleh dilayari di portal Jabatan Perangkaan Malaysia iaitu www.myagricensus.gov.my dan laman Facebook Banci Pertanian 2024 www.facebook.com/bancipertanian2024/. Tema Banci Pertanian 2024 adalah “Banci Pertanian, Kunci Kemajuan Pertanian”.

Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Hari Statistik Negara (MyStats Day) pada 20 Oktober setiap tahun. Tema sambutan MyStats Day adalah “Statistik Nadi Kehidupan”. DOSM menyambut ulang tahun ke-75 Jubli Intan pada tahun 2024.


Dikeluarkan oleh:

PEJABAT PESURUHJAYA BANCI
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA