Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pada masa ini, pelaksanaan bancian yang dimulakan pada 7 Julai lepas telah mencapai tahap 30 peratus.
"Di Kedah, kita telah selesai lawati 19,700 Tempat Kediaman (TK) yang terlibat dengan aktiviti pertanian, jadi kita jangka prestasi yang kita ada ini dapat menyelesaikan proses pembancian ini dalam tempoh tiga bulan iaitu pada 10 Okt boleh dicapai.
"Tahap kerjasama dan juga komitmen semua pihak begitu baik, bahkan di kalangan agensi-agensi pertanian merasakan pembancian ini adalah satu perkara yang harus diberi perhatian sepenuhnya," katanya kepada pemberita pada program turun padang bagi operasi kerja luar Banci Pertanian 2024 di Kampung Masjid, Kubang Rotan di sini semalam.
Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 berkata bancian itu meliputi empat subsektor iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan pembalakan serta perkayuan.
Beliau berkata dianggarkan terdapat lebih 1.3 juta isi rumah atau individu yang terlibat dalam pertanian dan hampir 20,000 pertubuhan berdaftar, institusi, koperasi dan persatuan turut terlibat dalam sektor berkenaan.
Pelaksanaan bancian itu amat penting, khususnya daripada para petani dalam mengumpul data-data berkaitan pertanian termasuk permasalahan yang dihadapi, tambah beliau.
Mengenai bancian di Kedah, Mohd Uzir berkata pihaknya memberi penekanan kepada isu-isu melibatkan tanaman padi bagi mendapatkan data-data yang dikaitkan dengan tanaman itu termasuk perubahan iklim, bekalan air dan penggunaan teknologi.
"Daripada bancian ini kita juga kenal pasti tanah-tanah yang tidak diusahakan, berapa bilangannya, serta potensi-potensi yang ada. Kita akan ketengahkan semua itu bila kita tutup bancian dan bentangkan hasil bancian," katanya.
Sementara itu, DOSM dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena program itu menyatakan berdasarkan kepada Laporan Keluaran Negara Kasar (KDNK) Negeri Kedah pada 2023, sektor pertanian bagi Kedah menguncup 2.8 peratus, dengan nilai ditambah RM5.5 bilion, dipengaruhi oleh penurunan dalam subsektor perikanan serta tanaman (getah dan padi).
Bagaimanapun, pertumbuhan positif subsektor ternakan telah mengimbangi penyusutan sektor pertanian di Kedah.
Mengikut DOSM, Banci Pertanian menyediakan data asas tentang profil pegangan pertanian seperti maklumat demografi, hasil pertanian, kos input, saiz ladang, penggunaan dan pemilikan tanah, mekanisasi serta penggunaan teknologi.
Statistik pertanian itu dapat digunakan untuk merangka dasar dan program jangka pendek dan jangka panjang serta meningkatkan keterjaminan makanan, produktiviti serta mempromosikan pertanian mampan.
"Melalui Banci Pertanian 2024 ini, diharap dapat membantu kerajaan dalam mengukur kestabilan bekalan padi negara bagi memenuhi keperluan domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada import," katanya.
-- BERNAMA