Namun, dengan bantuan ubat-ubatan, golongan yang mempunyai gangguan mental ini boleh menjalani kehidupan normal.
Dari satu sudut lain, mampukah pesakit mental kembali bekerja?
Ira, 21 tahun, adalah antara lebih seratus pesakit mental yang sedang menjalani pemulihan di Yayasan Kesihatan Mental Malaysia.
Beliau sudah mengalami gangguan mental sejak di sekolah menengah.
"Masa gangguan itu saya pergi sekolah. Kawan saya nak suruh saya pulangkan buku. Saya pulangkan buku itu dan tiba-tiba saya rasa 'lain'. Sejak itu, saya rasa nak marah orang, rasa persekitaran lain sangat.
"Saya kemudian beberapa kali berubat banyak tempat termasuk tradisional namun tiada siapa boleh rawat saya. Kemudian, saya pergi hospital kemudian baik sikit. Namun, ia (gangguan) kerap berulang. Masa Tingkatan 1 ia datang balik dan berterusan hingga SPM. Jadi saya tidak tentu arah," katanya dalam satu temubual dengan Astro AWANI di bangunan Yayasan Kesihatan Mental Malaysia di ibu negara.
Selepas melalui proses pemulihan hampir dua tahun di Yayasan Kesihatan Mental Malaysia, keadaan Ira lebih baik daripada sebelum ini.
Di yayasan itu, Ira diberi latihan kemahiran dalam bidang masakan dan menjahit.
"Saya rasa seronok berada di sini sebab ada kawan dan guru yang boleh bimbing untuk masak. Tenaga pengajar baik dan ringan tulang," katanya lagi.
Gadis ini juga ternyata sudah lali dengan masyarakat yang ada sebahagiannya mengeji dan ada pula yang mengambil berat dengan nasib yang menimpa dirinya.
"Saya sudah lali dengan semua cakap-cakap orang dan ada yang gelar saya 'orang gila'. Namun, saya tetap ada keluarga yang sentiasa membantu saya terutama ibu saya sendiri yang banyak memberi sokongan," katanya kepada Astro AWANI di sini.
Selepas lebih dua tahun, beliau dan beberapa rakan senasib berjaya membuka syarikat membekalkan katering dan makanan sejuk beku.
"Saya memang sangat minat dengan masakan dan kalau boleh saya mahu kembangkan lagi syarikat ini dengan bantuan kawan-kawan saya. Saya mahu buktikan satu hari nanti bahawa pesakit mental pun boleh berjaya di luar sana.
Dalam tempoh sebulan pendapatan maksimum yang mereka peroleh boleh mencecah sehingga RM7,000.
Atas kejayaan itu, mereka bercita-cita membuka restoran satu hari nanti.
Dalam pada itu, sama seperti Ira, rakan kongsinya, Awal, 34 tahun, menyimpan hasrat sama, ingin berjaya dalam perniagaan.
"Sebelum ini saya pernah bekerja sebagai atendan di sebuah hospital kerajaan, namun kerana kerap tidak datang bekerja kerana 'gangguan' suara-suara halus, saya telah dihentikan kerja.
"Jadi, dengan bantuan pihak Yayasan, saya harap boleh bekerja seperti orang lain dan ada pendapatan saya sendiri," tambahnya.
Ira dan Awal serta tiga lagi pelatih di yayasan itu telah menubuhkan sebuah syarikat perusahaan yang menyediakan khidmat katering dan makanan sejuk beku di sekitar ibu negara.
Walaupun masih baru dalam perniagaan, mereka menyimpan hasrat untuk menjadi usahawan berjaya.
Namun, ingatan sama diberikan Awal kepada mereka yang senasib dengannya:
"Jangan lupa makan ubat," ujarnya.
[VIDEO] Mampukah pesakit mental kembali bekerja?