Malaysia sedia membantu Indonesia dalam menangani masalah pembakaran hutan yang menyebabkan jerebu teruk di negara berkenaan dan beberapa negara jiran termasuk Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam status terbaru di laman Facebooknya, berkata Malaysia sedia membantu menangani masalah ini untuk kebaikan bersama.

"Saya menerima baik keputusan Indonesia untuk bekerjasama dengan Malaysia dan negara-negara lain dalam usaha untuk menangani isu kebakaran hutan yang menyebabkan keadaan jerebu," kata beliau.



Sebuah portal media tempatan Indonesia hari ini melaporkan Presiden Indonesia, Joko Widodo sebagai berkata republik itu telah menghubungi kerajaan Malaysia, Singapura, Rusia dan Jepun untuk meminta bantuan memadamkan api terutamanya di kawasan tanah gambut di negara itu yang didapati masih sukar dipadamkan sepenuhnya.