Ringkasan AI
- Malaysia dan Republik Kyrgyz setuju mengukuhkan kerjasama dalam pendidikan, termasuk TVET dan STEM.
- Malaysia akan melatih lebih ramai peserta dari Republik Kyrgyz melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
- Pertemuan turut membincangkan pelantikan penasihat khas dari Malaysia ke Republik Kyrgyz untuk membantu pembangunan ekonomi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook berkata perkara itu dibincangkan semasa beliau menerima kunjungan hormat daripada Penasihat Dasar Luar kepada Presiden Republik Kyrgyz, Muratbek Azymbakiev, di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
"Berhubung Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), Malaysia bersetuju untuk melatih lebih ramai peserta dari Republik Kyrgyz dalam pelbagai bidang," katanya.
Perdana Menteri berkata pertemuan itu turut membincangkan mengenai pelantikan penasihat khas dari Malaysia ke Republik Kyrgyz untuk membantu dalam pembangunan ekonomi negara Asia Tengah itu.
Katanya dalam hal ini, beliau memaklumkan beberapa calon berpotensi telah dikenal pasti dan sedang dalam proses disenarai pendek oleh Malaysia.
Menurut Anwar, Muratbek turut menyampaikan surat dan cenderahati daripada Presiden Republik Kyrgyz dan Ketua Kabinet.
"Saya titipkan harapan agar hubungan kedua-dua negara terus terjalin lebih erat pada masa akan datang," katanya.
Semasa lawatan Perdana Menteri ke negara itu baru-baru ini, rakan sejawatnya, Pengerusi Menteri-Menteri Kabinet Republik Kyrgyz Akylbek Zhaparov menzahirkan hasrat supaya Malaysia melantik seorang penasihat kepada kerajaan negara itu.
-- BERNAMA