Malaysia tidak berada di dalam senarai larangan perjalanan ke Amerika Syarikat susulan Arahan Eksekutif (EO) mengenai imigresen oleh Presiden Donald Trump.

Menurut sumber Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, arahan tersebut kekal seperti mana diumumkan minggu lalu dan tiada perubahan terhadap senarai negara terlibat.

"Rakyat Malaysia boleh berkunjung ke AS dengan visa yang sah," katanya.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan Malaysia kini berada dalam senarai larangan Trump untuk melawat Amerika seperti tujuh negara yang telah digariskan minggu lalu.

Negara-negara dari rantau Asia Barat dan Afrika yang terlibat dengan larangan tersebut ialah Iraq, Iran, Syria, Somalia, Sudan, Libya dan Yaman.