KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) menandatangani Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA), pada Rabu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, PCA merupakan perjanjian pertama yang merangkumi kerjasama pelbagai bidang di antara Malaysia dan EU.

Jelasnya, PCA juga meliputi rangka kerja politik strategik yang holistik, bagi menambah baik dan mengukuhkan hubungan dan kerjasama yang telah lama terjalin di antara Malaysia dan EU.

"Malaysia diwakili Menteri Luar Negeri, Datuk Zambry Abd Kadir manakala representasi EU terdiri daripada Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan serta Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Josep Borrell Fontelles; Perdana Menteri Republik Czech, Petr Fiala, Presidensi Majlis EU masing-masing mewakili EU dan 27 negara anggotanya.

"Pemeteraian PCA adalah salah satu acara kemuncak Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-EU yang julung kali diadakan pada hari yang sama dan ia merupakan detik bersejarah dan pencapaian penting dalam hubungan Malaysia-EU," kata Wisma Putra, pada Khamis.

Wisma Putra


Wisma Putra dalam pada itu menyatakan, Perjanjian PCA merangkumi 60 artikel yang bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk hubungan politik, perdagangan dan pelaburan, tenaga, pengangkutan, pertanian, kewangan, maritim dan bidang lain melalui dialog dan pertukaran maklumat.

Tambahnya lagi, PCA akan mula berkuat kuasa setelah ia diratifikasi oleh Malaysia dan negara-negara anggota EU.