Beliau berkata sentimen pasaran juga dipengaruhi oleh data ekonomi China yang positif, susulan unjuran pertumbuhan yang optimis daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk ekonomi ASEAN.
"Namun begitu, kenaikan selanjutnya terbatas berikutan kebimbangan terhadap Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS) serta ketegangan perdagangan antara China dan Kesatuan Eropah (EU) ditambah dengan konflik geopolitik Timur Tengah yang berterusan," katanya kepada Bernama.
Peniaga itu berkata harga minyak stabil hari ini selepas meningkat dengan mendadak dalam sesi-sesi sebelum ini dengan para peniaga mencari lebih banyak petunjuk daripada Pilihan Raya Presiden AS dan mesyuarat politik utama di China.
Pada 5 petang, harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 0.24 peratus kepada US$75.11 setiap tong.
Beliau berkata sektor perkhidmatan China berkembang melebihi jangkaan pada Oktober berdasarkan data indeks pengurus pembelian sektor swasta yang dikeluarkan pada Selasa, apabila aktiviti perniagaan meningkat susulan beberapa langkah rangsangan baharu dari Beijing.
Sementara itu, menurut beliau, unjuran pertumbuhan IMF untuk ASEAN adalah kukuh pada 4.6 peratus tahun ini dan 4.7 peratus pada 2025 yang sebahagian besarnya disokong oleh permintaan domestik dan eksport yang kukuh.
"Dilaporkan China mendesak Perancis untuk menggesa Suruhanjaya Eropah ke arah penyelesaian yang boleh diterima oleh industri kenderaan elektrik Eropah dan China.
"Manakala Perancis berkata, blok tersebut tidak akan mengalah dalam perkara-perkara penting sambil berusaha untuk membatalkan tarif yang dikenakan ke atas produk brandy," katanya.
Mengikut Lembaga Getah Malaysia (LGM), harga Getah Mutu Malaysia (GMM 20) berkembang sebanyak 6.5 sen kepada 868 sen sekilogram manakala lateks pukal susut 7.5 sen kepada 708 sen sekilogram.
Pada 5 petang, GMM 20 berada pada 869.5 sen sekilogram manakala lateks pukal berada pada 702 sen sekilogram.
-- BERNAMA