KUALA LUMPUR: Malaysia muncul sebagai salah satu daripada 10 destinasi mesra kripto untuk nomad dan syarikat digital.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, ini susulan pembentukan unik bakat tempatan, serta kos untuk mengambil pekerja tempatan adalah lebih kompetitif berbanding dengan negara jiran.

Selain itu, keupayaan rakyat Malaysia menguasai pelbagai bahasa juga membolehkan syarikat global memberi perkhidmatan kepada pelanggan antarabangsa mereka dengan berkesan.

"Pada suku pertama 2024 sahaja, 193 syarikat telah dianugerahkan status Digital Malaysia, separuh daripadanya adalah syarikat teknologi maklumat yang memanfaatkan teknologi seperti blockchain, Web3 dan AI.

"Yakinlah bahawa kerajaan MADANI sangat fokus untuk memastikan daya tarikan Malaysia sebagai lokasi pilihan untuk syarikat teknologi digital datang dan berkembang di ASEAN, termasuk menyediakan persekitaran politik yang stabil, dasar dan kemudahan yang mesra pelabur," katanya dalam ucaptama pada Malaysia Blockchain Week 2024, pada Khamis.

Tegasnya, Malaysia mesti bersedia untuk menerima teknologi baharu seperti blockchain dan kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta cabang nilai baharu.

Memetik laporan Custom Market Insights (CMI), Gobind berkata saiz pasaran teknologi blockchain global dianggarkan berjumlah AS$4.8 bilion pada 2022 dan dijangka mencecah sekitar AS$69 bilion menjelang 2032.

"Dengan memanfaatkan potensi blockchain merentasi pelbagai sektor, kita boleh mencipta peluang baharu, meningkatkan kecekapan dan mengukuhkan kedudukan sebagai ekonomi digital terkemuka.

"Kesan blockchain melangkaui manfaat ekonomi. Ia berpotensi untuk merevolusikan industri, meningkatkan ketelusan dan keselamatan dalam tadbir urus, dan memperkasakan individu melalui identiti sendiri.

"Teknologi ini membolehkan individu mengurus identiti digital mereka dengan selamat, mengurangkan risiko kecurian identiti dan menyediakan privasi yang lebih besar,"ujarnya.

Tambahnya lagi, Kementerian Digital kekal teguh dalam komitmen untuk menyokong pertumbuhan ekosistem ini melalui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan inisiatif strategik nasional Malaysia Digital (MD), bagi meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam ekonomi digital.