JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, menolak permohonan habeas corpus yang difailkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), GISB Holdings Sdn Bhd (GISB), Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isteri, Azura Md Yusof yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Datuk Abu Bakar Katar ketika membacakan keputusannya berkata, mahkamah berpendapat ketika Notis Usul permohonan habeas corpus itu difailkan pada 24 Oktober lalu, pemohon tidak berada dalam tahanan SOSMA.

Menurutnya, pemohon berada dalam Waran Menahan yang sah dikeluarkan Mahkamah Sesyen Selayang.

"Selepas meneliti hujan lisan dan bertulis semua pihak, mahkamah ini membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili responden.

"Mahkamah ini berpendapat semasa Writ Habeas Corpus difailkan, pemohon tidak berada dalam tahanan salah atau tahanan tidak wajar.

"Pemohon berada dalam Waran Menahan yang sah sekali gus Writ Habeas Corpus telah menjadi akademik," katanya.

Prosiding permohonan habeas corpus Nasiruddin dan Azura itu didengar pada 30 Oktober lalu, dengan kedua-dua pemohon itu menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia, sebagai responden.

Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin dan Azura dilaporkan dituduh atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Akta 130V (1) di Mahkamah Sesyen Selayang.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka dan kesemua 19 individu lain kerana kes itu mengikut SOSMA yang berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kesemua 13 lelaki dan sembilan wanita berkenaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Peguam responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Zain Ibrahim bersama Peguam Persekutuan, Mohamad Firdaus Sadina Ali dan Nur Syahidah Mohamad Kamil.

Barisan peguam pemohon pula, diketuai Datuk Rosli Kamaruddin, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah, Hasnan Hamzah, Zaim Rosli, Luqman Zainal, Schanni Feizal, Zahier Rosli.

Turut hadir pada prosiding berkenaan adalah dua peguam Majlis Peguam Malaysia, Syahmi Nawawi, yang memantau bagi kepentingan awam.

Dalam pada itu, Rosli ketika ditemui media berkata, beliau mendapat arahan anak guamnya supaya memfailkan rayuan penolakan permohonan habeus corpus berkenaan di Mahkamah Persekutuan, minggu hadapan.

"Susulan tindakan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang membenarkan akauntan GISBH, Hamimah Yakub yang didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, diikat jamin, tindakan bagi tahanan lain akan menyusul.

"Sesiapa (ahli GISB) yang layak untuk dijamin di bawah SOSMA termasuk tahanan wanita atau lelaki yang uzur dan sakit, permohonan akan dibuat kepada mahkamah supaya dapat ditimbangkan menggunakan budi bicara sama ada untuk membenarkan jaminan atau sebaliknya.

"Kami juga sedang menunggu dokumentasi pihak pendakwaan untuk persediaan perbicaraan selanjutnya berhubung pertuduhan jenayah terancang ahli-ahli GISB," katanya. -- Sinar Harian