Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad berkata, penarikan balik darjah kebesaran itu dibuat Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, selepas menerima nasihat daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Ketua Menteri Melaka telah menasihatkan Tuan Yang Terutama untuk menarik balik Darjah Pangkuan Seri Melaka yang membawa gelaran ‘Datuk’ diberikan kepada Nasiruddin Mohd Ali pada 25 Ogos 2024.
“Nama Nasiruddin Mohd Ali telah dikeluarkan daripada senarai Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2024 yang mana ia berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya lagi, penarikan balik Darjah Kebesaran itu selaras dengan kuasa prerogatif Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka dalam Perkara 34B, Bahagian IV, Perlembagaan Negeri Melaka.
Tambahnya, Nasiruddin tidak dibenarkan mengguna pakai gelaran itu dan beliau dikehendaki memulangkan semula darjah kebesaran tersebut kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri.