PRESIDEN Ukraine, Volodymyr Zelensky menuduh Presiden Rusia, Vladimir Putin cuba memanipulasi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mencapai matlamatnya.

Dalam ucapan harian kepada negara yang disiarkan di televisyen, Zelensky memberikan respons tersebut terhadap komen yang dibuat oleh Putin pada Jumaat.

Pemimpin Rusia itu mendakwa, "krisis di Ukraine" mungkin dapat dielakkan jika Trump memegang kuasa pada 2022.

Putin turut menyatakan kesediaannya untuk berbincang dengan Presiden AS yang baharu tentang konflik tersebut selain menyifatkan Trump sebagai “seorang yang bijak.”

Zelensky menjelaskan, isu percubaan Putin untuk mempengaruhi Trump telah dibincangkan dalam mesyuarat Ketua Komander Tertinggi Ukraine pada Jumaat.

Beliau berkata, Ketua Perkhidmatan Perisikan Asing telah membentangkan laporan mengenai “potensi ketenteraan Rusia dan kesediaan Putin untuk meneruskan perang serta memanipulasi pemimpin dunia.”

“Dan khususnya, beliau ingin memanipulasi keinginan Presiden AS untuk mencapai keamanan. Saya yakin bahawa tiada lagi manipulasi Rusia yang akan berjaya,” kata Zelensky.

Trump sejak sekian lama mendakwa perang di Ukraine tidak akan berlaku semasa penggal pentadbirannya, tetapi semalam, kali pertama Putin mengutarakan kenyataan yang sama. - Agensi