"Jika ICC mengambil tindakan dan menyampaikannya melalui Interpol dan Interpol membuat permintaan kepada kami untuk menangkap atau menyerahkan seseorang yang berada di bawah bidang kuasa ICC, kami akan memberi respons positif terhadap permintaan Interpol," kata Bersamin, lapor Sputnik/RIA Novosti, yang dipetik oleh Agensi Berita Filipina.
Semasa tempoh Duterte menjadi Presiden dari 2016 hingga 2022, beliau melancarkan perang besar-besaran terhadap dadah, yang menyebabkan lebih 6,000 pembunuhan di luar proses undang-undang, menurut angka polis.
Pada 2018, Filipina menarik balik pengesahannya terhadap Statut Rom, perjanjian asas ICC.
Pada 2023, Filipina enggan bekerjasama dengan tribunal yang berpusat di The Hague, memilih untuk menjalankan siasatan domestik.
Namun, pada November 2024, Filipina mengubah pendirian dengan bersetuju untuk tidak menghalang Duterte menyerah diri kepada ICC sekiranya beliau berhasrat berbuat demikian.
ICC kini sedang mengumpulkan bukti dalam siasatannya terhadap dakwaan jenayah kemanusiaan yang berkaitan dengan perang dadah Duterte.
Bersamin berkata, kerajaan Filipina bersedia untuk bekerjasama dengan ICC meskipun Filipina telah menarik diri daripada bidang kuasa mahkamah itu.
Beliau menjelaskan, tangkapan dilakukan melalui Interpol dan negara Asia Tenggara itu masih menjadi anggota organisasi itu.
-- BERNAMA