THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengumpul lebih banyak bukti dan maklumat dalam 18 bulan terakhir berbanding 20 tahun sejak penubuhannya, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik ketua pendakwanya pada Isnin.

Karim Khan menekankan usaha intensif mahkamah baru-baru ini dalam ucapannya pada sesi ke-23 Perhimpunan Negara-Negara Pihak (ASP) kepada Statut Rom ICC.

ICC telah menerima jumlah bukti dan dokumen terbesar dalam sejarahnya pada tahun lepas, dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan mangsa-mangsa mengemukakan banyak dokumen dan bukti di bawah Artikel 15 Statut Rom, katanya.

Daripada 30 waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah, ketua pendakwa itu berkata 18 waran dikeluarkan dalam tempoh tiga tahun terakhir.

Menegaskan bahawa undang-undang mesti diterapkan secara adil kepada semua pihak, Khan berkata perlindungan yang dinikmati oleh penduduk di satu bahagian dunia tidak berbeza daripada yang dinikmati di bahagian dunia yang lain.

Beliau turut menyentuh tentang kepentingan bekerjasama dan bertindak bersama untuk memenuhi tujuan mahkamah dan tugas yang ditetapkan kepadanya di bawah Statut Rom.

Pada 21 November lepas, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

-- BERNAMA