JOHOR BAHRU: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isteri Azura Md Yusof yang didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang memfailkan permohonan habeas corpus untuk dibebaskan serta-merta.

Turut memfailkan permohonan itu ialah seorang Pengurus Cafe Ikhwan di Kluang, Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28, yang kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Dalam permohonan itu, ketiga-tiga pemohon memohon satu perintah writ habeas corpus dikeluarkan Mahkamah Tinggi di sini bagi membebaskan mereka daripada tangkapan dan penahanan tidak sah oleh pihak responden.

Pasangan suami isteri berumur 68 dan 57 tahun yang turut menghadapi pertuduhan itu mengikut SOSMA serta Mohamad Suhaimi memfailkan permohonan terbabit menerusi peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili ketiga-tiga pemohon itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Nasiruddin dan Azura menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, serta Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga kelima manakala Mohamad Suhaimi menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga ketiga.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar menetapkan 4 Dis ini untuk pendengaran permohonan itu.

Kesemua responden diwakili Peguam Persekutuan Mohamad Firdaus Sadani Ali manakala ketiga-tiga pemohon diwakili peguam Rosli, Najib Zakaria, Dorina Abdullah, Boestamam Ahmad dan Muhammad Zahir Rosli.

Turut hadir dalam prosiding itu peguam pemerhati daripada Majlis Peguam R. Jayabalan, Fadhil Ihsan Mohamad Hassan dan Khairul Azwad Sariman.

Pada 23 Okt lepas, Nasiruddin bersama 21 pengikutnya didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, Kuala Lumpur atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISB sejak 2020 mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes itu mengikut SOSMA yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mohamad Suhaimi pula dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi petang ini mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

-- BERNAMA