SUNGAI PETANI: Sebuah syarikat didenda RM75,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membina loji kitar semula sisa pepejal tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Julai lepas.

Hakim Azman Abu Hassan membuat keputusan tersebut terhadap pengurus syarikat Mohd Hasrul Hafiz Roslan yang mewakili Grey Matter Plastic Industries Sdn Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS).

Mengikut pertuduhan syarikat itu didakwa menjalankan aktiviti yang ditetapkan iaitu Aktiviti 14(b) (ii), Jadual Pertama, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, pembinaan loji kitar semula sisa pepejal iaitu sisa plastik tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 3 Julai lepas di premis Grey Matter Plastic Industries Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian LPK, Taman Ria Jaya di sini, antara 10.40 pagi hingga 2.30 petang.

Pendakwaan mengikut Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34A(8) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, Mohd Hasrul Hafiz yang tidak diwakili peguam memohon agar diringankan hukuman kerana syarikat itu tidak lagi menjalankan proses kitar semula sisa plastik di premis berkenaan.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap OKS memandangkan kes mendapat perhatian Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JAS Muniff Mat Rus dan Ahmad Mustaqim Mohd.


-- BERNAMA