SUNGAI PETANI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah berjaya membongkar operasi sebuah kilang kitar semula yang disyaki memproses plastik terpakai menjadi pelet makanan ikan dalam serbuan di sebuah premis di daerah Kuala Muda pada Rabu.


Ringkasan AI
  • JAS Kedah membongkar operasi kilang kitar semula yang menggunakan plastik terpakai untuk membuat pelet makanan ikan di Kuala Muda.
  • Tindakan dilaksanakan dalam Ops Patuh bersama PDRM dan JIM, menemui 100 metrik tan pelet siap dibungkus dalam plastik bertulis 'makanan ikan air tawar', serta 20 bungkusan plastik terpakai.
  • Tindakan penguatkuasaan dilakukan di bawah Akta Alam Sekeliling 1974, termasuk kesalahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa lesen dan tanpa laporan penilaian impak alam sekitar. Selain itu, penyitaan bahan sisa elektronik juga dilakukan dalam serbuan terhadap kilang kitar semula lain.


Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata tindakan tersebut dikesan semasa Ops Patuh yang dilaksanakan secara bersama oleh JAS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Kilang kitar semula tersebut didapati beroperasi secara haram dengan menghasilkan pelet yang dibungkus dalam pek makanan ikan.

"Pasukan serbuan menemui sekitar 100 tan metrik pelet yang telah siap diproses dan dibungkus dalam plastik bertulis 'makanan ikan air tawar'. Selain itu, turut ditemui 20 bungkusan plastik terpakai yang belum diproses.

"Penguatkuasaan dijalankan di bawah Akta Alam Sekeliling 1974. Premis ini disiasat di bawah Seksyen 18 kerana menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa lesen daripada JAS.

"Pemilik juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34(a) kerana gagal mengemukakan laporan penilaian impak alam sekitar kepada JAS. Sementara itu, Seksyen 34(b) disebabkan menempatkan buangan terjadual tanpa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar," katanya.

Nik Nazmi menyertai Ops Patuh di dua buah kilang kitar semula, pada Rabu.

Beliau menambah bahawa tindakan pencegahan telah diambil dengan menahan operasi dan menyita peralatan di dalam premis di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Alam Sekeliling. Siasatan lanjut bagi tujuan pendakwaan juga sedang dijalankan.

Terdahulu Nik Nazmi menyertai Ops Patuh di dua buah kilang kitar semula, pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya turut menyita lebih 1,500 metrik tan bahan sisa elektronik dalam serbuan di sebuah lagi kilang kitar semula.

Tambah Nik Nazmi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui JAS akan terus memperkukuhkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti perindustrian termasuk kilang haram yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Katanya, serbuan dilakukan di dua kilang terbabit kerana menjalankan pemerolehan kembali luar tapak buangan terjadual (e-waste) tanpa kelulusan EIA dan lesen dari JAS, serta aktiviti kitar semula plastik tanpa kelulusan EIA.