KUALA LUMPUR: Sebuah lori yang terbakar dan bergerak sendiri dalam video yang tular di media sosial, disyaki mengalami masalah panas melampau pada enjin.

Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kejadian dilaporkan berlaku di Kilometer 38 Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya pada Isnin, ketika dalam perjalanan dari Dengkil ke Puchong.

"Pemandu lori mengesan asap keluar dari bahagian enjin dan cuba memberhentikan kenderaan di tepi jalan, namun gagal apabila api semakin marak.

"Pemandu terbabit kemudiannya bertindak terjun keluar dan hanya mengalami luka ringan, manakala lori yang dipandu hangus terbakar," katanya.

Norhizam menjelaskan, pemandu terbabit memaklumkan kejadian berkenaan kepada pemilik lori, sebelum diarahkan supaya membuat laporan polis sebagai makluman.