Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini mempertimbang untuk mewajibkan pembayar cukai individu menggunakan perkhidmatan e-Filing dalam tempoh empat tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata peningkatan sebanyak 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pembayar cukai individu yang menggunakan perkhimatan e-Filing tahun ini adalah satu perkembangan positif ke arah cadangan itu.

"Sehingga semalam, mereka yang menggunakan sistem e-Filing tahun lepas ialah 466,000 orang namun pada tahun ini, jumlahnya mencecah 647,938", katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dalam Forum Cukai LHDN-CTIM di sini pada hari Khamis.

Beliau berkata langkah itu bagaimanapun bergantung kepada kejayaan e-Filing yang diwajibkan ke atas semua syarikat untuk taksiran cukai tahun ini.

Bagaimanapun, beliau menyedari bahawa idea itu akan sukar dilaksana kerana tidak mudah untuk mengubah sikap orang ramai.

Meskipun begitu, beliau yakin kewujudan lebih ramai pembayar cukai terdiri daripada generasi muda dan pendidikan berterusan kepada orang ramai, perkara itu akan dapat dilaksana pada masa depan.

Bercakap pada forum berkenaan, Mohd Shukor mengingatkan pembayar cukai sama ada individu atau syarikat agar menghantar Borang BE atau B mereka untuk taksiran bagi tahun ini tepat pada masanya.

Beliau berkata mereka yang memilih kaedah e-Filing akan mempunyai tambahan masa 15 hari berbanding pembayar cukai yang menggunakan kaedah manual.

Pembayar cukai yang menggunakan kaedah manual perlu menghantar borang mereka selewat-lewatnya 30 April dan 30 Jun bagi syarikat, katanya.

Mohd Shukor berkata LHDN turut mempertimbang untuk menyiarkan nama mereka yang mengelak untuk membayar cukai di laman sesawang seperti yang dilakukan oleh United Kingdom.

Beliau berkata ini adalah antara strategi LHDN bagi memastikan rakyat membayar cukai seperti yang termaktub dalam undang-undang.