KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) digesa untuk meningkatkan kecekapan bagi memastikan kerajaan dapat memperoleh hasil yang lebih baik pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, LHDN berperanan besar dalam memastikan kelangsungan kewangan Malaysia di masa hadapan.

Beliau menjelaskan, berbanding negara serantau lain, cukai yang dikenakan ke atas penduduk Malaysia adalah terlalu kecil.

"Jadi jika hasil yang dikutip juga rendah, maka ia berpotensi membawa Malaysia kepada masalah kewangan yang besar.

"Justeru kecekapan perlu dipertingkatkan dengan pelbagai usaha seperti pendigitalan, langkah baharu yang memenuhi keperluan semasa.

"Dengan ini, saya harap LHDN dapat hasil bertambah dari unjuran. Setiap sen dan ringgit dibayar tetapi tidak membebankan rakyat dan syarikat lebih dari had yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024, di sini, pada Isnin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, LHDN perlu memastikan tiada aktiviti rasuah dalam kalangan warganya, dan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud unsur seperti itu.

Mengakui tugas mengutip cukai sangat mencabar di samping berhadapan risiko seperti ugutan daripada golongan tertentu, katanya, beliau akan terus memberi sokongan penuh kepada warga LHDN dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Orang-orang kaya ini kadang-kadang ikut cara lama, sebab itu saya kata rasuah ini menjadi sistemik, maknanya menular dan dia (orang-orang kaya) sudah biasa dengan cara itu.

"Cukai RM2 juta, selepas runding jadi RM500,000, bocor sana-sini. Jika patut cukai RM2 juta, bayar RM2 juta, tapi kalau dia beri alasan munasabah dan dikurangkan sedikit, itu munasabah.

"Itu bukan urusan saya, tetapi saya percaya dengan kepakaran dan kejujuran saudara (warga LHDN) melaksanakannya,” katanya lagi.