KUALA LUMPUR: Sempena peristiwa Israk dan Mikraj yang diperingati pada tanggal 27 Rejab setiap tahun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kembali keistimewaan yang dianugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Menerusi perkongsian di platform media sosial, Anwar berkata, keistimewaan yang dianugerahkan kepada Rasulullah melalui Israk dan Mikraj yang merupakan satu perjalanan spiritual yang hadir bersama amanah solat dan punya dampak yang besar kepada roh dan kekuatan dalaman umat Islam.

"Simbol kepimpinan baginda Rasulullah mengetuai solat dalam kalangan para Rasul yang lain jua mengambarkan kepentingan umat Islam yang dipayungi oleh Rasulullah. 

"Pengalaman unik yang dialami oleh baginda harus dibugar bagi memupuk semangat bekerja lebih kuat dan berdisplin mencapai itqan fil amal serta teguh kepada pengabdian penuh kepada Allah.

"Selain İtu, ibrah dari peristiwa besar ini penting dalam konteks sejarah umat Islam, khususnya peranan dua kota suci Mekah dan Baitulmaqdis," ujarnya.

Sehubungan İtu, Anwar berkata, ingatan dan doa kepada nasib rakyat Palestin yang tertindas dan terus mengalami penjajahan harus menjadi sebahagian sikap konsisten rakyat negara ini dalam memperjuangkan maruah dan keadilan untuk rakyat Palestin.

Peristiwa Israk dan Mikraj yang disambut hari ini adalah satu mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad.

Antara peristiwa penting dalam Israk dan Mikraj adalah perintah kewajipan solat fardu lima waktu sehari semalam ke atas orang Islam.