PUTRAJAYA: Seramai 10 wakil daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menaikkan harga lantai padai daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800.


Ringkasan AI
  • Memorandum PeSAWAH: Sepuluh wakil PeSAWAH menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri, meminta kenaikan harga lantai padi dari RM1300 ke RM1800 per tan untuk kelangsungan hidup pesawah dan jaminan bekalan makanan negara.
  • Bantahan RUU Kualiti Benih Tanaman: PeSAWAH membantah RUU yang mewajibkan lesen dan ujian makmal untuk benih tanaman, yang dianggap membebankan petani kecil.
  • Perhimpunan dan Kawalan: Penyerahan memorandum berlangsung dengan kawalan PDRM dan diteruskan di pekarangan KPKM. Perdana Menteri menasihatkan pesawah menunda perhimpunan kerana lawatan Presiden Indonesia.


Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob dalam satu kenyataan berkata kenaikan harga itu penting bagi memastikan kelangsungan hidup pesawah dan menjamin bekalan makanan negara.

Katanya, harga lantai pada ketika ini tidak lagi relevan dengan keadaan semasa berikutan kenaikan kos diesel dan benih.

Penyerahan memorandum tersebut berlangsung dengan kawalan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perhimpunan yang pada awalnya dijadualkan berlangsung di PMO itu diteruskan di pekarangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Antara lain dikemukakan PeSAWAH ialah bantahan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.

Jelas Abdul Rashid, RUU tersebut dirangka tanpa sebarang perundingan yang bermakna dengan petani di negara ini.

"RUU ini akan mewajibkan setiap individu yang memproses dan mengedar benih tanaman untuk memperolehi lesen dan menghantar sampel benih ke makmal untuk ujian pengesahan.

"Kami difahamkan bahawa RUU ini juga memperuntukkan denda bernilai RM100,000 dan 3 tahun penjara kepada penyimpan dan pengedar benih yang tidak mempunyai lesen.

"Berikutan peningkatan kos bersawah kelewatan bekalan benih yang sering berlaku dan kemerosotan kualiti padi sah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hampir 30% pesawah sudah mula memproses, berkongsi dan menjual benih padi dari sawah mereka sendiri.

"Ini untuk menjimatkan kos dan mendapat pendapat tambahan secara kecil-kecilan.

"Justeru kami membantah sekeras-kerasnya cadangan RUU ini yang dilihat akan membebankan petani kecil seperti kami," ujarnya ketika ditemui wartawan di pekarangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan 1,000 pesawah yang merancang untuk berhimpun di Putrajaya hari ini menunda kunjungan itu ke satu tarikh lain.

Saranan itu susulan lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke Malaysia yang dijadual berlangsung pada hari sama.