Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menziarah keluarga Abu Hanifah di Kampung Cherating Baru, Kuantan, Pahang.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ahmad Farhan memaklumkan bahawa Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak, termasuk seorang yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala dua lagi adiknya merupakan individu kelainan upaya yang memerlukan perhatian rapi.
"Kini, ibu mereka menjadi satu-satunya tempat bergantung. Saya hadir bukan sekadar menziarahi, tetapi menyampaikan sumbangan wang tunai daripada Perdana Menteri sebagai tanda keprihatinan.
"Saya juga menitip pesanan kepada si ibu dan anak sulung agar terus tabah mengharungi kehidupan. Semoga kehadiran kami memberi sedikit kelegaan, dan urusan mereka dipermudahkan," kata Ahmad Farhan dalam hantaran Facebook hari ini, yang turut dikongsikan Anwar.
Ahmad Farhan turut mengajak umat Islam mendoakan agar Allahyarham Abu Hanifah dicucuri rahmat Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
-- BERNAMA
