Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menggariskan tiga inisiatif dalam usaha merakyatkan perkhidmatan awam iaitu menyediakan perkhidmatan kepakaran hampir kepada rakyat, menjalankan perkhidmatan kesihatan yang selamat, inovatif dan berkualiti serta menjalankan penyampaian perkhidmatan alternatif.
"Kita semua sebagai penjawat awam, falsafah atau panduan kepada kita untuk merakyatkan perkhidmatan awam adalah dengan sentiasa berfikir sebagai seorang rakyat dahulu kerana tugasan harian kita adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat ," katanya.
Suriani berkata demikian semasa menjadi panel forum 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Sabtu.
Selain itu, beliau berkata usaha merakyatkan perkhidmatan awam bukan sesuatu yang baharu sebaliknya akan terus dipergiat agar keterlihatan itu lebih efektif dan efisien.
Menurut beliau, antara yang dilakukan KKM bagi merakyatkan perkhidmatan adalah pelaksanaan perkhidmatan flying doctors di kawasan sukar diakses melalui jalan darat, program pemasyarakatan perkhidmatan klinik sekolah dan mobilisasi pegawai kesihatan dan jururawat
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Ruji Ubi yang juga panel forum berkata kementerian mempunyai tiga pemegang taruh utama dalam merakyatakan perkhidmatan awam iaitu murid, guru dan ibu bapa.
"KPM dan barisan kepimpinan KPM ketika ini giat menjalankan usaha memastikan murid-murid yang sepatutnya memasuki tahun satu, harus mendaftar dan bersekolah, selain mahu pastikan kadar pelajar mendaftar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat ditangani secara holistik," katanya.
Sebelum ini, KPM memaklumkan lebih 10,000 calon SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu walaupun sudah mendaftar.
Konvensyen dua hari bermula semalam (Sabtu, 23 Nov), diadakan sempena Program 2TM.
-- BERNAMA