PETALING JAYA: Seorang pekerja sambilan pengiklanan yang ditahan berhubung kes menyerang dua wanita di kawasan Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah berhampiran Sekolah Rendah Agama (SRA) di Kelana Jaya, di sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas dua pertuduhan cubaan membunuh, dua minggu lalu.

Mohammad Ferdaus Mashud, 46, yang memakai baju T berkolar berwarna oren, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Noor Ruzilawati Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba membunuh seorang jurujual telefon bimbit dan seorang guru agama, masing-masing berusia 26 dan 52 tahun, dengan mencederakan mereka menggunakan objek tajam, yang akan menyebabkan kematian.

Kesalahan didakwa dilakukan di Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Jalan SS 5A/10, di sini, pada jam 1.30 tengah hari, 9 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, KS Rinisha Priyya tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya mahkamah berhasrat untuk memberikan ikat jamin, pendakwaan mencadangkan kadar itu ditetapkan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin, bagi setiap kes.

“Memandangkan, tertuduh berdepan dua pertuduhan yang sangat serius, maka saya memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport (jika ada) kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan,” katanya.

Sementara itu, peguam, Kailash Sharma yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah, kerana tertuduh tidak menunjukkan risiko untuk melarikan diri.

"Dia yang bekerja sendiri, perlu menyara lima anak bersama bekas isteri, namun tidak membantah jika mahkamah mengenakan syarat tambahan," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Ruzilawati membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi semua pertuduhan.

“Tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi kes dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan,” katanya yang menetapkan sebutan semula kes pada 23 September depan.

Pada hari kejadian, seorang wanita berusia 26 tahun ditikam individu tidak dikenali di sebuah tandas surau dan mencederakan guru besar wanita berusia 52 tahun ketika dia cuba menyelamatkan mangsa pertama.

Suspek yang bersenjatakan pisau telah melarikan diri dan semakan polis mendapati, dia mempunyai enam rekod kesalahan jenayah lampau, membabitkan kes samun dan curi kenderaan. - Sinar Harian