KUALA LUMPUR : Sering dimarahi kerana mempunyai masalah kewangan menjadi punca seorang lelaki warga Myanmar bertindak kejam dengan membunuh ibunya sendiri di Seksyen 25, Shah Alam Selangor.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada orang awam pada 5.49 petang, pada Selasa.

Katanya, pengadu merupakan jiran kepada mangsa dan membuat laporan setelah diberitahu oleh anak bongsu mangsa yang baru pulang dari sekolah.

"Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku jam lebih kurang 4.30 petang, semasa mangsa yang berusia 40 tahun dipercayai sedang memasak di rumahnya ketika itu.

"Mangsa telah bergelut dengan suspek dan telah ditikam dengan senjata tajam dan melalui pemeriksaan tubuh telah menemui beberapa kesan tikaman pada badannya," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, polis telah membuat tangkapan ke atas suspek yang berusia 20 tahun yang juga merupakan anak sulung mangsa.

"Turut dijumpai senjata pisau yang digunakan untuk menikam mangsa di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut mendapati suspek tidak berpuas hati pada ibunya kerana asyik memarahi disebabkan masalah kewangan,"ujarnya.

Mohd Iqbal berkata, permohonan reman ke atas suspek telah dibuat dan dibenarkan selama tujuh hari bermula dari 21 hingga 27 Ogos oleh Mahkamah Majistret Shah Alam.

"Hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian disebabkan lemas akibat ditekup dan mempunyai kesan tikaman di perut.

"Siasatan dijalankan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Iqbal menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Muhammad Abdul Hafiz Sariee di talian 014-890 5051.