KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera parah manakala tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) cedera ringan selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan trak PDRM dan terbakar di Jalan Bukit Cerakah, Kampung Bukit Cherakah, di Jeram, Selangor, pagi ini. 

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada jam 6.40 pagi, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar tiba di lokasi 10 minit kemudian. 

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kebakaran melibatkan sebuah kereta Kia Sorento yang terbakar sebanyak 90 peratus selepas bertembung dengan trak PDRM. 

"Pemandu Kia Sorento, seorang lelaki, mengalami kecederaan patah kaki, manakala tiga anggota PDRM hanya mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pasukan bomba yang terdiri daripada enam anggota bersama sebuah jentera FRT dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran. 

Sementara itu, ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia turut berada di lokasi untuk memberikan bantuan perubatan kepada mangsa yang terlibat.