Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata empat individu termasuk tiga anggota polis terlibat dalam kejadian tersebut.
Beliau berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan itu kira-kira 6.40 pagi sebelum menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar ke lokasi.
"Komander operasi melaporkan kemalangan dipercayai akibat pertembungan antara dua kenderaan terbabit menyebabkan kereta dipandu seorang lelaki terbakar 90 peratus.
"Bagaimanapun pemandu kereta yang dalam keadaan sedar telah diselamatkan oleh anggota terlibat dengan memecahkan cermin dan menarik keluar mangsa sebelum kereta terbakar sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata kemalangan tersebut menyebabkan pemandu kereta berusia 56 tahun itu patah kaki manakala seorang anggota polis iaitu pemandu trak patah tangan dan dua lagi anggota cedera ringan.
"Makluman awal komander operasi turut menyatakan pemandu trak polis yang patah tangan akibat kemalangan itu telah bertindak mengundurkan trak bagi mengelakkan kenderaan berkenaan terbakar," katanya.
Beliau berkata kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang bagi mendapatkan rawatan.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)