AMPANG: Empat lelaki warga Singapura yang dilaporkan sesat di kawasan Air Terjun Bukit Apek, di sini, ditemukan dalam keadaan selamat pada Ahad.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 7.19 malam.

"Seramai lima anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ahmad Mukhlis berkata, setibanya di lokasi, operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan.

"Mangsa tersebut masih boleh dihubungi sebelum mereka ditemui pada jam 11.20 malam.

"Kesemua lelaki berusia 22 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, mereka berjaya dibawa turun pada jam 1.02 pagi, Isnin, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. - Sinar Harian