SHAH ALAM: Tiga premis dipercayai kilang perabot dan kotak di Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor dilaporkan terbakar malam ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada 9.44 malam.

“Laporan awal komander operasi memaklumkan kebakaran terbabit melibatkan tiga kilang berkeluasan 100x80 kilometer persegi dengan setiap satu sedang marak terbakar dan kerja pemadaman masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Mukhlis berkata sebanyak 33 pegawai dan anggota dari tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) membabitkan Bestari Jaya, Sungai Buloh, Kapar, Bukit Jelutong, Petaling Jaya, Damansara dan Batu Arang digerakkan untuk melakukan kerja operasi pemadaman.

-- BERNAMA