Mayat lelaki warga tempatan berumur 54 tahun itu dijumpai sekitar 100 meter dari rumah kongsi yang didiami bersama isterinya, seorang warga Thailand.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 5 hingga 6 pagi, ketika mangsa dikatakan hendak ke tandas.
Menurutnya, isteri mangsa mendakwa terdengar bunyi ngauman harimau dan sebaik membuka pintu rumah kongsi, dia ternampak suaminya diseret haiwan liar itu ke arah semak.
Katanya, bertindak dari maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Bersia dibantu pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik serta anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah pergi ke lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan telah berjaya menemukan mangsa sekitar jam 12 tengah hari dengan kecederaan parah pada bahagian kaki kiri dan leher,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas lelaki itu mendapati mangsa telah pun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Azizi berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk proses bedah siasat dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan kejadian tersebut.
Menurutnya, beberapa anggota telahpun diarahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Kita belum pasti sama betul ia harimau atau mungkin haiwan liar lain," ujarnya.