Kerajaan negeri akan memberi diskaun 10 peratus tarif air kepada lebih daripada 140,000 pengguna di negeri ini, kata Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya tawaran itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan manifesto Pakatan Harapan 100 hari yang sedang diusahakan kerajaan negeri ketika ini bagi meringankan beban golongan sasar.

Katanya, angka tersebut merupakan penambahan daripada 30,000 akaun domestik yang menikmati air percuma sebelum ini.

“Kita akan umumkan dalam masa terdekat mengenai diskaun 10 peratus tersebut, dan ini akan dimanfaatkan hampir 140,000 rakyat yang merupakan pengguna LAP,” katanya dalam ucapan ketika hadir dalam Majlis Rumah Terbuka PPBM Sungai Siput, di sini hari ini.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya akan berbincang dengan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri untuk mengenal pasti golongan sasar untuk bantuan tersebut.

Katanya, bantuan penjimatan melalui diskaun itu akan membantu kesemua golongan rakyat Perak tanpa mengira bangsa, agama serta ideologi politik.

Beliau berkata perlaksanaan penjimatan tarif air itu akan dapat direalisasikan sekiranya pihak kerajaan negeri dapat memastikan pengurusan perbelanjaan yang efisien.

Tajaan bola sepak

Sementara itu, Ahli Parlimen Tambun itu juga menegaskan bahawa pihaknya juga telah mendapatkan reaksi positif daripada pelbagai pelabur yang akan memberikan tajaan kepada pasukan bola sepak negeri.

“Bayangkan, dalam masa setahun LAP membelanjakan hampir RM8 juta untuk tujuan bola sepak sahaja. Jadi saya nak tanya, samada kita masih nak kekalkan tajaan itu kepada pasukan bola sepak negeri, atau kita nak berikan diskaun kepada rakyat?

“Saya juga minat kepada bola sepak, dan ingin hebat daripada pasukan negeri lain justeru saya telah berbincang dengan beberapa pelabur dan mereka kata, tiada masalah untuk memberikan tajaan kepada pasukan negeri Perak,” ujarnya lagi.