KUALA LUMPUR: Bersatu mendakwa siasatan polis berhubung ucapan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dikatakan menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16, telah dilakukan secara tergesa-gesa.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pendakwaan segera ke atas Muhyiddin oleh Peguam Negara berhubung kes itu juga menimbulkan banyak lagi persoalan.

Katanya, ini kerana tindakan menyatakan fakta, terutama berkaitan Perlembagaan Persekutuan, tanpa berkecenderungan menghasut tidak boleh dianggap sebagai perbuatan menghasut atau menjadi kesalahan.

Beliau mendakwa, ucapan Muhyiddin pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini, disampaikan secara beralas tanpa mengandungi sebarang unsur provokasi.

Malah, Muhyiddin dalam ucapannya itu secara jelas menyebut beliau tidak mahu menyatakan apa-apa perkara buruk terhadap raja. Malah, beliau ada menyebut 'tidak mengapalah'. Di mana ia membuktikan ucapan tidak bertujuan menghasut rakyat terhadap raja.

Beliau sebaliknya hanya menyatakan fakta secara sepintas lalu bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan pada 21 November 2021. Namun, beliau tidak dititah menghadap untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.

Beliau kemudian mengemukakan bukti 115 Akuan Bersumpah Ahli Parlimen kepada pihak polis ketika disoal siasat.

Justeru Faizal mempersoalkan kewajaran Muhyiddin didakwa berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), akan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang, pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan polis menyiasat laporan dibuat terhadap Muhyiddin mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.