Ringkasan AI
- Datuk Seri Hamzah Zainudin akan bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti yang akan datang. Keputusan ini telah disahkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin1.
- Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Peja), yang sebelumnya memegang jawatan Timbalan Presiden, telah mengundur diri untuk memberi laluan kepada Hamzah. Muhyiddin mengiktiraf peranan Setiausaha Agung PN dan hubungan akrab dengan parti komponen lain sebagai faktor penting dalam keputusan ini.
- Meskipun tidak ada pencabar yang jelas bagi jawatan Timbalan Presiden, parti masih membenarkan ahli untuk bertanding. Pengumuman Muhyiddin diharapkan meredakan ketegangan dalam pemilihan.
Perkhabaran terbaharu itu disahkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas selesai Konvensyen Bersatu di Selayang pada Sabtu.
Menurut Muhyiddin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Peja) yang juga penyandang jawatan tersebut sedia mengundur diri bagi memberi laluan kepada Hamzah.
“Peja (Faizal) sedia lepaskan jawatan itu dan tak bertanding Timbalan Presiden kerana berikan ruang kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk mengambil tugas sebagai Timbalan Presiden.
“Ini atas dasar mengiktiraf peranan Setiausaha Agung PN, tidak kurang penting juga beliau sebagai Ketua Pembangkang Perikatan Nasional (PN) di Parlimen yang banyak pengaruh.
“Hubungan yang akrab dengan parti komponen lain seperti Pas. Ini semua kita ambil kira.
“Saya fikir saya tiada halangan langsung untuk Datuk Seri Hamzah memimpin sebagai Timbalan Presiden dan membantu saya," katanya.
Tambah beliau, parti juga bersetuju untuk menawarkan jawatan Setiausaha Agung Bersatu kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ketika ditanya adakah pengumuman tersebut bermakna Hamzah menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden Bersatu, Muhyiddin menegaskan mungkin tiada pencabar bagi jawatan tersebut.
Jelasnya, parti telah berbincang dan bersetuju untuk membenarkan Ahli Parlimen Larut itu memegang jawatan berkenaan.
Begitupun, kata beliau, perlembagaan parti masih tidak menghalang ahli untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.
Sebelum ini, jawatan disandang Ahmad Faizal itu menjadi panas selepas Mohamed Azmin dikatakan bakal bertanding bagi merebut jawatan tersebut.
Sekiranya pertembungan itu benar-benar berlaku, ia bakal menyaksikan persaingan dua ‘heavyweight’ politik negara bagi merebut jawatan tersebut.
Begitupun, pengumuman terkini daripada Muhyiddin itu mungkin meredakan sedikit suhu pemilihan, andai kata Mohamed Azmin menerima tawaran Setiausaha Agung itu.