Ringkasan AI
- KUSKOP menyediakan skim pembiayaan melalui beberapa agensi untuk membantu usahawan tempatan yang memerlukan modal tambahan.
- Pada tahun 2024, KUSKOP menyalurkan pembiayaan dan geran bernilai RM9.577 bilion kepada 333,625 usahawan di seluruh negara.
- KUSKOP menyasarkan jualan sebanyak RM5 juta melalui Kempen Mari Beli Lokal 2025 dan platform e-dagang MyMall.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, KUSKOP bersama beberapa agensi di bawah Kementerian antaranya Tekun Nasional, Bank Rakyat, SME bank, Pernas, SME Corp dan Suruhajaya Koperasi Malaysia menawarkan pembiayaan yang diperlukan kepada usahawan-usahawan perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.
“Pada tahun 2024, KUSKOP melalui agensi-agensi itu telah menyalurkan pembiayaan dan juga geran bernilai RM9,577 bilion kepada seramai 333,625 orang usahawan di seluruh negara.
“Saya percaya, tahun ini dengan semangat dan keinginan usahawan nilai ini boleh dipertingkatkan lagi,” katanya ketika sidang Media Kempen Mari Beli Lokal 2025, hari ini.
Dalam pada itu, KUSKOP juga menyasarkan jualan sebanyak RM5 juta hasil jualan berbanding RM2.5 juta pada tahun 2024 menerusi Kempel Mari Beli Lokal menerusi platform e-dagang, MyMall yang dibangunkan oleh pihak kementerian.
“Setakat ini, platform MyMall ini tiada yuran dikenakan kepada usahawan-usahawan untuk memasarkan atau mengiklankan produk mereka di platform MyMall secara percuma.
“Mudah-mudahan, dengan tidak meletakkan apa-apa yuran lebih ramai lagi usahawan tampil berdaftar dengan MyMall.
"Kita juga mendukung platform-platform tambahan seperti TikTok Shop yang telah menjadi rakan strategik Kementerian yang telah menyediakan fasiliti live studio,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, peluncuran Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 ini bertujuan untuk menarik sokongan orang ramai terhadap produk tempatan yang dikeluarkan oleh usahawan-usahawan Malaysia.
Bagi usahawan tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan, mereka dijemput untuk menyertai platform jualan digital MyMall dengan mendaftarkan perniagaan di www.mymallmalaysia.my atau e-mel kepada contact@mymallmalaysia.my.
