PUTRAJAYA: Penjawat awam dalam kalangan kumpulan pelaksana dijangka menikmati kenaikan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) antara 15 hingga 42.7 peratus.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberitahu, kenaikan gaji yang melibatkan 692,828 kakitangan awam itu boleh diketahui bermula minggu depan.

Menurutnya, kenaikan itu adalah yang tertinggi kepada kumpulan pelaksana setakat ini. 

"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, yang akan mula diedarkan minggu depan adalah garis panduan berkait kenaikan gaji penjawat awam.

"Jadi insya-Allah bermula minggu depan, kita akan dapat gambaran secara umum peningkatan gaji penjawat awam yang dijangka sekitar 15 hingga 42.7 peratus.

"Peningkatan ini bagi kumpulan pelaksana paling tinggi, manakala bagi kumpulan seperti KSU (Ketua Setiausaha), Ketua Pengarah, peningkatannya lebih sederhana," katanya pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di sini, pada Rabu.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, Kerajaan Madani mengambil kira beberapa aspek melibatkan implikasi kewangan susulan pelaksana SSPA turut dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet.

"Mesyuarat hari ini diingatkan beberapa aspek implikasi kewangan. Ia bukan hanya perlu di bawah ke mesyuarat Jemaah Menteri tetapi juga dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober di Parlimen.

"Untuk perincian terutamanya jumlah yang perlu diperuntukkan akan dapat diteliti dalam dokumen Belanjawan 2025," tambah Fahmi lagi.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan skim gaji penjawat awam akan naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.