KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan akan mendapatkan maklumat tepat berhubung status tanah sama ada ia milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) atau sebaliknya.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, agensi itu akan bertanggungjawab jika tanah berkenaan sudah menjadi hak miliknya.

"Kita akan mendapatkan maklumat berkaitan berhubung status itu sama ada masih di bawah kerajaan negeri atau sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan melalui ceramahnya bahawa Kesedar melengahkan proses pemberian geran kepada penduduk tanah yang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri.

Takiyuddin turut mendakwa, ribuan lot membabitkan 602 permohonan di Limau Kasturi dan 1,374 permohonan di Sungai Terah dekat sini sudah diluluskan oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Pengerusi Kesedar, Datuk Zawawi Othman, tidak mahu kerajaan negeri mencampuri urusan tanah agensi berkenaan.

Beliau menjelaskan tanah Kesedar membabitkan lima lokasi iaitu di Renok, Sungai Asap, Limau Kasturi Kesedar, Jeram Tekoh dan Meranto.

Tambah beliau, sehingga kini kerajaan negeri Kelantan meluluskan lebih 85,000 permohonan pemilikan tanah sejak 1990. -- Sinar Harian