BEIJING: Pembunuhan ketua biro politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran mencetuskan situasi lebih berbahaya di rantau Asia Barat.

Modus operandi seumpama itu tidak sejajar dengan prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pembunuhan itu dilihat sebagai arang yang dicoret pada muka Iran dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah, malah menjadikan usaha pelbagai pihak untuk menggalakkan keamanan terjejas, sehingga menyebabkan gencatan senjata semakin jauh dapat diwujudkan di Semenanjung Gaza.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Luar China, Wang Yi ketika menghubungi Menteri Luar Negeri dan Imigresen Mesir, Badr Abdelatty menerusi telefon untuk bertukar-tukar pandangan berhubung situasi di Asia Barat semalam.

Wang menekankan, pihak-pihak terbabit tidak boleh menggalakkan amalan dwistandard dalam isu konflik Gaza dan pendirian China mengenai isu Palestin adalah konsisten dan jelas.

China juga telah mengesyorkan tiga langkah bagi merungkai isu berkenaan, iaitu mewujudkan gencatan senjata secara komprehensif, mendorong tadbir urus pascaperang di Gaza dengan mengikut prinsip "Palestin ditadbir rakyat Palestin" dan mengambil tindakan tulen dalam melaksanakan formula "penyelesaian dua negara".

Wang mengulangi pendirian China yang terus memihak kepada keadilan antarabangsa, meningkatkan solidariti dengan negara-negara Arab dan bekerjasama dengan semua pihak untuk mengelak situasi daripada terus meruncing.

Dalam pada itu, Abdelatty menyatakan Mesir amat bimbang akan situasi di Gaza yang sudah menjadi semakin genting.

Beliau berkata perjanjian gencatan senjata lebih sukar dicapai, bahkan peperangan berkemungkinan akan tercetus dalam lingkungan yang luas susulan pembunuhan Haniyeh.

Abdelatty menyeru supaya masyarakat antarabangsa membentuk sinergi bagi mengelak ketegangan daripada memburuk lagi.

Beliau turut menghargai peranan penting dimainkan China dalam menggerakkan kedamaian di rantau Asia Barat dan mengucapkan terima kasih kepada China yang berhasil dalam menggalakkan persefahaman dalaman Palestin.

Mesir berhasrat mengekalkan kerjasama rapat dengan China untuk mencegah keadaan di rantau terbabit daripada bertambah tegang, kata menteri luar itu.

-- BERNAMA